Bayaran caj air: Pulau Pinang tunggu tindakan Kedah

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang akan menunggu sebarang tindakan yang akan diambil kerajaan Kedah berhubung isu tuntutan bayaran caj air mentah.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, setakat ini tiada sebarang perbincangan rasmi di antara kedua-dua kerajaan negeri sejak isu tersebut dibangkitkan.

Menurutnya, beliau masih menunggu tindakan lanjut selepas Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mahu membawa isu itu ke mahkamah.

"Kita menunggu tindakan Kedah. Apa juga jenis tindakan yang mereka ambil, kita akan lihat sebab sekarang cuma cakap-cakap dalam surat khabar (media) sahaja, tiada apa-apa yang rasmi. Jadi kita tunggu saja," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pecah Tanah PR1MA Residensi Bukit Gelugor, di sini hari ini.

Mengulas mengenai harapan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man supaya perbincangan dilakukan antara dua negeri berkenaan Kon Yeow berkata, setakat ini tiada persediaan untuk berbuat demikian.

"Memang ada (harapan menteri) tetapi nampaknya Muhammad Sanusi sebelum ini tidak bersetuju.

"Pulau Pinang menawarkan untuk memberi sumbangan kewangan atas pengorbanan Kedah supaya tidak meneroka kawasan tadahan air di Ulu Muda tetapi Menteri Besar Kedah juga tidak berminat sebaliknya mahu menuntut caj air mentah yang sememangnya kita tidak bersetuju,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan Kedah dilaporkan tidak menolak kemungkinan membawa isu tuntutan bayaran caj air mentah terhadap Pulau Pinang ke mahkamah sekiranya masalah itu tidak dapat diselesaikan.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan Kedah turut memberi bayangan akan meminta campur tangan kerajaan Persekutuan jika Pulau Pinang tetap enggan menerima pelawaan Kerajaan Kedah untuk berunding.

Muhammad Sanusi menegaskan bahawa Kedah tetap mahukan bayaran caj air mentah dari Sungai Muda yang mengalir ke Pulau Pinang dan bukannya bayaran berbentuk sumbangan daripada kerajaan negeri terbabit.

Kedah berhasrat menetapkan caj 10 sen bagi setiap satu meter padu air mentah itu namun bersedia berunding dengan Pulau Pinang mengenai harga berkenaan.

Baru-baru ini, Kedah menuntut Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menjelaskan bayaran sumber air mentah dari Sungai Muda sebanyak RM50 juta setahun sejak 2010 namun tiada sebarang tindakan dibuat oleh pihak berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Isu air: Pulau Pinang tak akan bayar satu sen kepada Kedah

Caj air mentah: Kedah mahu bayaran bukan sumbangan

Kedah perlu tuntut pampasan dari Persekutuan bukan Pulau Pinang

Tak wajar Kedah berkorban, Pulau Pinang kaut untung percuma