Lebuhraya Pasir Gudang tidak selamat, rosak teruk

Hassan melihat kerja-kerja membaiki kerosakan dan menampal jalan berhampiran susur keluar ke Plentong di Lebuhraya Pasir Gudang, pada Ahad.
Hassan melihat kerja-kerja membaiki kerosakan dan menampal jalan berhampiran susur keluar ke Plentong di Lebuhraya Pasir Gudang, pada Ahad.
A
A
A

PASIR GUDANG - Kerosakan Lebuhraya Pasir Gudang tidak boleh lagi diturap atau ditampal seperti biasa sebaliknya perlu dibaiki dengan satu kaedah baharu yang berkualiti dan tahan lebih lama.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, masalah itu sudah lama berlaku dan kerja-kerja pembaikan tidak memenuhi standard dan spesifikasi.

Katanya, kerja-kerja pengorekan dan penampalan serta penurapan yang cetek dan nipis menyebabkan tar tidak tahan lama apabila hujan dan dilalui kenderaan berat.

"Saya berharap Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Johor Bahru turun padang memantau kerja-kerja pembaikan yang dilakukan pihak kontraktor.

"Mereka menggunakan buruh warga asing yang tidak terlatih dan menggunakan peralatan usang untuk membaiki Lebuhraya Pasir Gudang yang sudah rosak teruk itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa meninjau kerosakan dan kerja-kerja penampalan kawasan yang rosak di lebuh raya berkenaan di kawasan berhampiran susur keluar ke Plentong hingga ke Pasir Gudang pada Ahad.

Beberapa kemalangan maut melibatkan motosikal akibat melanggar lubang dan terbaru dua pekerja selia selenggara parah dilanggar lori ketika sedang melakukan kerja-kerja penurapan.

Hassan berkata, jika tindakan pemantauan dan pemeriksaan tidak dilakukan JKR, pihaknya bimbang Kerajaan Persekutuan akan membazirkan wang rakyat berjuta ringgit untuk membaiki lebuh raya itu sepanjang masa tetapi kerosakan masih terus berlaku.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak mahu kerja-kerja pihak kontraktor yang tidak berkualiti," katanya.

Beliau sudah menulis surat pada Sabtu kepada Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohamad untuk membincangkan masalah itu dengan lebih terperinci kerana lebuh raya itu menjadi laluan penting di selatan Semenanjung Malaysia menghubungkan tiga bandar raya yang sedang membangun iaitu Bandaraya Johor Bahru, Bandaraya Iskandar Puteri dan Bandaraya Pasir Gudang.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di sepanjang lebuh raya berkenaan sepanjang 38 kilometer itu mendapati banyak lubang dan terdapat kawasan walaupun sudah ditampal tetapi permukaannya tidak rata.

Terdapat juga kesan tayar akibat kemalangan terus dibiarkan dan tidak dibaiki termasuk tiada lampu jalan di beberapa kawasan hingga melibatkan jarak beberapa kilometer.