BN terbuka terima kemasukan parti lain: Mohamad

Mohamad (depan, kiri) menyampaikan sijil watikah pelantikan gerak Sakti Troopers.
Mohamad (depan, kiri) menyampaikan sijil watikah pelantikan gerak Sakti Troopers.
A
A
A

NILAI - Barisan Nasional (BN) perlu membina kekuatan baharu termasuk menerima kemasukan parti lain dalam gabungan itu.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tidak ada salahnya BN menerima parti-parti lain yang berhajat menyertai gabungan berkenaan.

Menurutnya, ini kerana BN perlu mengumpulkan semula kekuatan termasuk daripada parti-parti lain yang mempunyai kelebihan tersendiri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke- 15 (PRU15).

"Seperti yang saya sebutkan tadi kita mesti bersifat inklusif bukannya eksklusif lagi. Maka jika ditanya pandangan peribadi saya lebih banyak parti bersepakat di bawah payung BN itu adalah lebih baik.

"Ini kerana masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri dan kekuatan sedikit-sedikit ini akan dikumpulkan menjadi sebuah kekuatan yang besar nanti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-12 Parti Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti) di sini pada Ahad.

Hadir sama, Presiden Makkal Sakti, Datuk Seri R S Thanenthiran.

Dalam pada itu, mesyuarat tersebut turut meluluskan tiga resolusi iaitu menjadi parti komponen BN, bertanding di bawah payung BN pada PRU15 dan mengenai kesejahteraan masyarakat India di Sabah.

Resolusi berkenaan diserahkan Thanenthiran kepada Mohamad pada akhir mesyuarat berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ketika ditanya mengenai permohonan parti Makkal Sakti untuk bertanding di bawah tiket BN pada PRU15, Mohamad berkata, permohonan itu wajar dipertimbangkan.

Katanya, parti itu merupakan parti yang telah lama bersama membantu BN sama ada ketika dalam kerajaan mahupun sebaliknya.

"Saya yakin bahawa pertimbangkan itu boleh dilakukan oleh jawatankuasa tertinggi BN. Ada juga rakan lain menyatakan hasrat yang sama, saya berpendapat lebih banyak parti bersama akan menjadi lebih inklusif, lebih memberi kekuatan kepada BN tetapi itu terpulanglah kepada kebijaksanaan kepimpinan-kepimpinan BN peringkat tertinggi," katanya.