Sumbangan THM diterima selepas tamat tempoh dipulangkan

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Semua wang yang disumbangkan kepada Tabung Harapan Malaysia (THM) selepas tarikh tutup pada 14 Januari lalu tidak akan dikreditkan ke dalam akaun dan dipulangkan semula kepada penyumbang.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pihak kementerian kini dalam tindakan untuk membuat pelarasan penutupan akaun tersebut sebelum pengauditan dijalankan oleh Jabatan Audit Negara.

Jelas beliau, jumlah sumbangan tersebut akan digunakan untuk pembayaran hutang Kerajaan Persekutuan

"Bagi memastikan pengurusan THM dibuat secara teratur dan berintegriti, satu Jawatankuasa Akaun yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir akan memutuskan penggunaan wang tersebut mengikut tatacara yang termaktub di dalam Arahan Amanah Akaun THM," katanya menerusi satu kenyataan di sini semalam.

Sebelum ini Kabinet memutuskan pada 2 Januari lalu untuk melanjutkan tempoh pemberian sumbangan THM selama dua minggu selepas menerima maklum balas positif dan keperihatinan rakyat Malaysia.

Tabung yang dilancarkan pada 30 Mei tahun lalu itu kini berjaya mengumpulkan sebanyak RM202,716,775.10 berdasarkan baki akhir setakat 14 Januari 2019.

Guan Eng berkata, Kerajaan Persekutuan merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang telah memberikan sumbangan kepada THM.

"Sumbangan mereka mencerminkan kesetiaan dan kasih sayang mereka terhadap tanahair yang dicintai," ujar beliau.

Artikel Berkaitan:

Katanya, orang ramai yang yang telah memberikan sumbangan telah memberikan semangat kepada kerajaan untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi menyelesaikan masalah hutang yang diwarisi Kerajaan Persekutuan.