MAFI perkasakan agropeneur muda

Ahmad (dua dari kanan) bersama Ahmad Maslan (kanan) dari Mohd Khairuzamri (dua dari kiri) ketika meninjau tanaman nanas di Kampung Parit Panjang Ayer Baloi, Pontian pada Khamis.
Ahmad (dua dari kanan) bersama Ahmad Maslan (kanan) dari Mohd Khairuzamri (dua dari kiri) ketika meninjau tanaman nanas di Kampung Parit Panjang Ayer Baloi, Pontian pada Khamis.
A
A
A

PONTIAN - Inisiatif Kementerian Pertanian dan Industri Asas Makanan (MAFI) menggalakkan penglibatan golongan muda dalam bidang pertanian menerusi Geran Agropreneur Muda (GAM) semakin menampakkan hasil.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, sambutan yang diberikan terhadap program agropreneur muda cukup baik dan dibuktikan melalui kejayaan golongan itu dalam bidang ternakan kambing tenusu, penanaman cendawan, nanas MD2 dan sebagainya.

“Saya cukup teruja melihat kejayaan anak-anak muda dari Pontian menternak kambing tenusu dan menghasilkan produk susu kambing yang cukup membanggakan.

“Daripada kisah kejayaan ini, kementerian bersama agensi seperti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan sebagainya komited untuk terus menyokong dan mengatur lebih banyak strategi membantu usahawan muda berkenaan,” katanya ketika mengadakan Lawatan Kerja Agropreneur Muda ke daerah Pontian pada Khamis.

Hadir sama, Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan; Ketua Pengarah LPP, Datuk Azulita Salim dan Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Mohd Khairuzamri M Salleh.

Sempena lawatan kerja itu, seramai 50 penerima geran di Johor menerima replika cek GAM berjumlah RM0.96 juta iaitu bantuan dalam bentuk barangan bernilai RM20,000.

Ahmad (dua dari kiri) memetik cendawan tiram kelabu sambil diperhatikan Mohd Syazwan (kanan) di Kampung Lubuk Sipat, Benut, Pontian pada Khamis.
Ahmad (dua dari kiri) memetik cendawan tiram kelabu sambil diperhatikan Mohd Syazwan (kanan) di Kampung Lubuk Sipat, Benut, Pontian pada Khamis.

Menurut Ahmad, sejak tahun 2016 sehingga kini, seramai 414 orang agropreneur muda di Johor telah menerima bantuan geran berjumlah RM7.54 juta.

Artikel Berkaitan:

“Pada tahun 2020, seramai 81 peserta agropreneur muda di Johor telah menerima GAM berjumlah kira-kira RM1.54 juta,” katanya.

Kisah kejayaan orang muda

Sementara itu, Azulita berkata, paparan kisah orang muda yang terlibat dalam bidang pertanian dan penghasilan produk makanan dapat menarik lebih ramai golongan itu menceburi bidang yang menguntungkan ini.

“Saya ingin menarik lebih ramai orang muda menceburi bidang pertanian yang sering dianggap kotor. Dengan paparan kejayaan ini, sudah tentu lebih ramai akan tertarik sertai bidang pertanian.

“Menerusi program My Green Team di sekolah, pelajar-pelajar didedahkan dengan bidang pertanian. Kita juga menyediakan latihan selain daripada geran B40, agropreneur muda dan peladang muda,” katanya.

Azulita Salim
Azulita Salim

Azulita berkata, pencapaian golongan muda yang telah mendapatkan latihan serta geran cukup membanggakan di mana produk pertanian dan makanan mereka sudah menembusi pasaran luar negara.

“Sekarang produk pertanian dan makanan sudah dipasarkan secara atas talian malah ada juga yang menjualnya menggunakan cash on delivery (COD) malah produk pertanian seperti cili kulai sudah dieksport ke Arab Saudi,” katanya.

Bantuan beli peralatan

Penternak kambing tenusu di Kampung Parit Ismail Benut, Mohd Salehuddin Mohd Rashid, 28, berkata, dia mula menceburi bidang penternakan kambing pada tahun 2009.

“Bermula daripada baka kambing pedaging, bebiri dan kambing tenusu kini saya sudah mempunyai kilang pemprosesan hasil tenusu bagi produk susu kambing segar, susu kambing berperisa dan minuman kultur susu kambing atas jenama Salleh Dairy Farm.

“Menerusi bantuan GAM sebanyak RM15,000 untuk membeli peralatan pempasteuran susu yang diterima pada awal tahun ini, kerja memproses susu kambing lebih mudah. Ia sangat membantu menghasilkan lebih banyak produk bagi memenuhi permintaan pasaran di kawasan ini terhadap susu kambing,” katanya.

Pengusaha tanaman cendawan tiram kelabu di Kampung Lubok Sipat Benut, Mohd Syazwan Zainal Abidin, 22, bermula daripada hanya 10 bongkah cendawan sahaja.

Selepas melihat potensi tanaman cendawan, dia mengambil langkah menambah bongkah cendawan kepada 7,000 dan sekarang sudah ada 30,000 bongkah cendawan.

Mohd Sallehuddin (kiri) menunjukkan kambing tenusu kepada Ahmad (tengah) dan Azulita (kanan) di Kampung Parit Ismail, Benut, Pontian pada Khamis.
Mohd Sallehuddin (kiri) menunjukkan kambing tenusu kepada Ahmad (tengah) dan Azulita (kanan) di Kampung Parit Ismail, Benut, Pontian pada Khamis.

“Tidak hanya bergantung kepada jualan cendawan segar, produk hiliran berasaskan cendawan iaitu cendawan crispy dan keju turut diusahakan ahli keluarga dan dijual menerusi platform atas talian. Bantuan GAM yang diberikan dalam bentuk peralatan menanam dan rumah cendawan amat membantu,” katanya.

Pengusaha tanaman nanas di Kampung Parit Panjang Ayer Baloi, Mohd Syazwan Abdul Rahaman, 21, berkata, dia bermula pada tahun 2015 dan ketika itu sekadar bantu ayahnya menanam nanas.

“Tetapi kini saya melakukannya secara sepenuh masa. Saya melihat tanaman nanas cukup berpotensi untuk dipasarkan. Selain boleh menghasilkan produk minuman dan jem, ladang nanas juga boleh dijadikan sebagai lokasi pelancongan.

“Bidang tanaman nanas ini sebenarnya mampu memberikan pulangan lumayan jika diusahakan bersungguh-sungguh. Malah LPNM juga sering memberikan bantuan dan khidmat nasihat sekiranya diperlukan,” katanya.