Perubahan ufuk politik siasah negara

Tidak memeranjatkan jika kolaboratif silang antara parti politik membawa kepada ufuk acuan baharu di tahun 2021.
Tidak memeranjatkan jika kolaboratif silang antara parti politik membawa kepada ufuk acuan baharu di tahun 2021.
A
A
A

Sepanjang tahun 2020, politik Malaysia melakar sejarah baharu. ‘Demi Rakyat’, ‘Kerajaan Minoriti’, ‘Pindah kuasa’, ‘Letak Jawatan’, ‘Kartel’, ‘Politik Nombor’, ‘Lompat Parti’, ‘Politik Gergasi’, ‘Tawaran Baru’, ‘Pengkhianatan’ dan ‘Langkah Sheraton’ menjadi kata kunci politik 2020.

Tidak ketinggalan ‘Legitimasi Politik’ dan ‘Kolaboratif Silang’. Begitu juga dengan ‘kerajaan tebuk atap’ dan ‘kerajaan pintu belakang’ atau ‘Reset Politik’.

Namun, sejarah akan memahat kemunculan Perikatan Nasional (PN) sebagai entiti politik bersifat gabungan besar yang mentadbir urus negara buat kali pertamanya.

Dua jenis kerajaan Persekutuan, dua Perdana Menteri pada tahun 2020, daripada Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, pemindahan kuasa daripada Pakatan Harapan (PH) kepada PN.

Nombor atau angka di Parlimen pada November lalu yang dipersoalkan sejak bulan Mac, berpihak kepada Muhyiddin ketika bacaan ketiga belanjawan 2021 sekali gus menghentikan polemik beliau tidak mempunyai keabsahan politik.

Sebaliknya, ia membawa kepada bucu krisis kepimpinan kedudukan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim di penghujung tahun 2020 oleh anggota PH sendiri.

Politik sering dirujuk kepada kepentingan kerana tidak ada musuh atau kawan. Politik juga seni kemungkinan yang membolehkan wujudnya ‘konsortium angka’.

Pemetaan parameter sedemikian rupa membawa kepada penjajaran politik 2020. Apakah konfigurasinya kekal atau berubah? Berlakukah gerakan pencarian kolaboratif gergasi parti politik?

Artikel Berkaitan:

Mac 2021, genap setahun pentadbiran PN. Apakah sesuai untuk bubar dan adakan pilihan raya umum (PRU) dengan ketibaan vaksin Covid-19? Indikasi penangguhan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 boleh menjadi nota kaki.

Bagaimanakah permulaan tahun 2021 mendasari kelangsungan politik yang tidak lagi bersifat kecelaruan ke atas persepsi massa yang mengikuti perkembangannya dengan penuh teliti dan memahami walaupun bosan, mual dan kecewa dengan politiking sejak tahun 2018?

Jika ‘demi rakyat’ menjadi idaman, ia akan menjadi tapak kebangkitan agenda politik baharu dengan keutamaan ke atas keperluan, kemahuan serta pemikiran strategik rakyat.

Belanjawan boleh menerokai keyakinan dan kepercayaan. Mampukah parti gabungan besar meneroka ‘formula baharu’ tanpa menyinggung mana-mana pihak dalam persediaan PRU dan agihan kerusi?

Inovasi dalam industri politik berbeza. Penglibatan yang konstruktif boleh membawa kepada anjakan berlainan tahun 2021. Ia juga berupaya mempengaruhi strategi masing-masing di PRU15.

Strategi tahun 2021 bukan sahaja membabitkan PN dan PH, tetapi mereka yang bangkit daripada kekalahan PRU14.

Perjuangan

Penubuhan Majlis Presiden pula dianggap penting bagi PN dan PH untuk memastikan limitasi sistem dan struktur tidak menyebabkan ‘sokong bawa rebah’. Masing-masing perlu memperkemaskan matlamat dan perjuangan, bukan semata-mata mahu menubuhkan kerajaan. Pengiraan di bawah new deal mesti mencerakin mood semasa.

Muafakat Nasional (MN) yang terhasil daripada PRU14 akan menguji keikhlasan hubungan Pas dan UMNO.

Apakah BN ada tindakan mengejut untuk kekal percaturan PRU14 termasuk ketika berhadapan PRN Sarawak?

Apakah akan ada calon pilihan Perdana Menteri sendiri walaupun komited dengan Muhyiddin kini? Atau, parti diutamakan dengan aturan unik mengenepikan kerjasama baharu pasca-PRU14? Mampukah kehadiran parti Warisan ke Semenanjung menjadi ‘penggerak’ kepada nilai gabungan gergasi pembangkang?

Tahun 2021 meletakkan kedudukan pembangkang pada cabaran baharu apabila sudah ada suara untuk reset kepimpinan dan masa depan. Anwar atau Datuk Seri Shafie Apdal menjadi pilihan atau ada trojan horse lain yang muda dan wibawa.

Ufuk politik siasah Malaysia sudah berubah. Nawaitu politik perlu jelas. Pengundi sudah sedar. Literasi politik jauh meningkat. Euforia 2018 tidak akan berulang tetapi harapan negara kembali stabil, kekal aman dan rukun di bawah kepimpinan yang memahami nadi denyut rakyat.

Tidak memeranjatkan jika kolaboratif silang antara parti politik membawa kepada ufuk acuan baharu di tahun 2021.

Kolaboratif gergasi tidak boleh ditolak kerana politik hari ini tidak lagi berpegang kepada kesetiaan atau fahaman tetapi ‘Politik Mikro’ menjadi penentu. Tidak mustahil ia berlaku lagi di tahun 2021!

* Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia