Malaysia-Itali gerbang ASEAN

Hubungan diplomatik dengan Itali telah terjalin semenjak tahun 1957 apabila Malaya mencapai kemerdekaan.
Hubungan diplomatik dengan Itali telah terjalin semenjak tahun 1957 apabila Malaya mencapai kemerdekaan.
A
A
A

Apabila disebut mengenai Itali seringkali kita terfikir pasukan bola sepak Juvenus FC, Milan nama pemain seperti Paolo Maldini dan Francesco Totti atau makanan popularnya pizza dan spageti.

Akan tetapi ramai mungkin tidak mengetahui Itali ialah salah satu rakan dagangan utama dalam kalangan negara-negara anggota Kesatuan Eropah (EU).

Hubungan diplomatik dengan Itali telah terjalin semenjak tahun 1957 apabila Malaya mencapai kemerdekaan. Namun hubungan dengan masyarakat Itali bermula sebelum kemerdekaan lagi.

Berdasarkan rekod sejarah hubungan awal dengan Itali boleh dibahagi kepada tiga kategori.

Pertama, para pengembara berbangsa Itali yang singgah di kawasan Nusantara dalam perjalanan dari China ke Eropah misalnya Marco Polo pada abad ke-13 kerana kedudukan Selat Melaka yang strategik dalam laluan maritim antarabangsa semenjak dahulu lagi.

Kedua, ahli antropologi dan naturalis Itali yang datang ke Tanah Melayu dan Sawarak, Borneo untuk membuat kajian mengenai hidupan liar serta masyarakat orang asli. Antaranya Odoardo Beccari (1834-1920) seorang penyelidik natural yang merantau dan menetap di Sawarak selama tiga tahun (1865-1868) untuk membuat penyelidikan mengenai alam dan flora di Borneo termasuk orang utan.

Pengalaman dan hasil kajian Beccari di Sarawak tercatat dalam buku bertajuk Wandering in the Great Forest of Borneo pada tahun 1902.

Seorang lagi penyelidik antropologi Itali, Giovanni Battista Cerruti pernah berada di Tanah Melayu pada kurun ke-19. Cerruti membuat penyelidikan mengenai masyarakat orang asli seperti Negrito di Perak dan Pahang. Hasil penyelidikan Cerruti di Tanah Melayu dipamerkan di Pameran Antarabangsa di Milan pada tahun 1906.

Artikel Berkaitan:

Ketiga, hubungan awal dengan kerajaan Itali berlaku apabila Sultan Sir Abu Bakar Almarhum Temenggong Seri Maharaja Tun Daeng Ibrahim dari Johor membuat kunjungan hormat kepada Raja Itali, Raja Umberto I pada 24 April 1885 semasa Sultan Abu Bakar dalam perjalanan ke Britain.

Sebenarnya, hubungan diplomatik kerajaan Itali dengan Kesultanan Johor terjalin sebelum tahun 1957.

Pada tahun 1891, Sultan Abu Bakar menerima pingat Ordine della Corona d'Italia (Commander of the Order of the Crown of Italy) daripada Raja Umberto I. Jelas sekali hubungan Malaysia-Itali mempunyai sejarah yang lama. Pada zaman kontemporari ini, hubungan tertumpu pada aspek ekonomi dan sosial. Itali memperkukuhkan hubungan dengan negara-negara ASEAN.

Pada 9 September lalu, ketika pembukaan sesi 53 Sidang Kemuncak Menteri Luar Negara ASEAN, pencalonan Itali sebagai Development Partner dalam ASEAN diluluskan sebulat suara. Hasil penting dalam usaha untuk menginstitusikan hubungan politik, ekonomi dan sosial antara Itali dengan ASEAN.

Berpengaruh

Oleh yang demikian, Itali memberikan keutamaan kepada hubungan dengan Malaysia yang juga salah sebuah negara pengasas ASEAN berpengaruh dalam rantau Asia Tenggara.

Malaysia boleh berperanan sebagai ‘gerbang’ bagi industri dari Itali menembusi pasaran ASEAN. Itali mempunyai tahap pengindustrian canggih merangkumi pelbagai bidang yang boleh dikongsi bersama rantau Asia Tenggara.

Bidang-bidang itu merangkumi industri automasi, pertahanan, aeroangkasa, tenaga, pertanian dan pemprosesan agro apatah lagi sektor perkhidmatan dan kerjasama kesihatan terutama dalam menghadapi pandemik Covid-19.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, komuniti dan syarikat Itali di Malaysia meningkat dua kali ganda. Ia terbukti daripada survei oleh Kedutaan Itali di Kuala Lumpur yang mendapati, sebanyak 110 syarikat Itali di Malaysia berbanding hanya 50 pada tahun 2012.

Selain itu, barangan buatan Itali atau ‘Made in Italy’ semakin mendapat sambutan daripada warganegara Malaysia.

Rangkaian sektor syarikat Itali di Malaysia sangat luas misalnya industri minyak dan gas, pertahanan, aeroangkasa, elektronik, pembinaan, automotif, pemprosesan agro dan perkhidmatan.

Pelabur Malaysia yang paling penting di Itali ialah Petronas yang memperolehkan syarikat pelincir Itali ‘Selenia lubrificanti’. Pada 7 November 2019, Petronas Lubricants International mengadakan Electric Simposium Cecair Kenderaan di pusat penyelidikannya di Turin.

Pada tahun yang sama dagangan Itali dan Malaysia melebihi AS$2.7 bilion. Bagi Itali, hubungan dengan Malaysia menjadi semakin penting kerana ia gerbang ke ASEAN serta rantau Indo-Pasifik.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya