Vaksin: Jangan sesatkan rakyat

A
A
A
Perbahasan mengenai harga pembelian vaksin Covid-19 untuk Malaysia menimbulkan kontroversi yang agak mengelirukan dan meletihkan masyarakat.

Ia bermula dalam sidang Dewan Rakyat yang lepas apabila Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Rahman, bangun bertanya soalan siapa yang dapat komisen RM500 juta (10 peratus) daripada RM5 bilion yang diperuntukkan?

Video pertanyaan tersebut yang ditularkan tanpa jawapan Menteri Kewangan telah menimbulkan tanggapan negatif dalam kalangan rakyat seolah-olah ada penyelewengan dalam pembelian vaksin ini.

Pertanyaan ini tidak mempunyai asas langsung kerana kerajaan hanya memperuntukkan RM3 bilion untuk pembelian vaksin. Lebih mengelirukan mengapa persoalan siapa dapat komisyen RM500 juta ditimbulkan dalam Dewan Rakyat ketika sesi soal jawab Menteri Kewangan?

Apakah asas pertanyaan itu? Oleh kerana pertanyaan ahli Parlimen UMNO itu tidak disokong oleh sebarang butiran, maka ia menimbulkan persepsi bahawa ia sebahagian budaya politik UMNO.

Tampak persoalan yang ditimbulkan oleh Tajuddin lebih bersifat pergaduhan puak atau kelompok politik yang tiada kena mengena dengan kepentingan rakyat dan negara. Sebaiknya ahli Parlimen UMNO membuat lebih penyelidikan dan bertanya soalan dengan lebih baik sesuai dengan kedudukan mereka yang membawa imej dan kredibiliti parti.

Ia tidak berakhir di situ apabila Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang (DAP) kemudiannya tampil mendakwa kerajaan membayar harga terlalu mahal.

Menurut Kit Siang, tindakan kerajaan membayar RM3 bilion untuk mendapatkan vaksin untuk 6.4 juta rakyat Malaysia adalah tidak munasabah kerana harga vaksin tersebut 20 kali ganda lebih tinggi daripada yang dibayar oleh Belgium.

Ia tidak benar kerana peruntukan RM3 bilion adalah untuk 70 peratus penduduk Malaysia iaitu sekitar 22.4 juta orang. Kecuali ahli politik itu mempunyai maklumat yang berlainan dengan pengumuman yang dibuat, mereka tidak seharusnya mislead rakyat dan menimbulkan kontroversi yang tidak berfaedah.
Artikel Berkaitan:


Rakyat mengalu-alukan proses semak dan imbang. Namun proses itu harus berlandaskan fakta atau maklumat yang mempunyai asas untuk dibentangkan. Malangnya dalam kes pembelian vaksin, ahli Parlimen kita memilih untuk melontarkan tuduhan-tuduhan tanpa sebarang asas hanya untuk meraih populariti.

Setakat ini, seperti mana yang telah beberapa kali diumumkan, kerajaan berunding terus dengan syarikat terbabit, tiada pembelian dari pihak ketiga.

Berdasarkan kenyataan media, kerajaan telah memeterai beberapa perjanjian dengan syarikat farmaseutikal terkemuka dunia membabitkan kos sejumlah AS$504.4 juta (sekitar RM2.05 bilion) yang akan meliputi 82 peratus penduduk negara.

Tuduhan dan dakwaan kita membeli harga sehingga 20 kali ganda daripada harga pasaran bukan sahaja tiada asas, malah bersifat mensabotaj rundingan kerajaan dengan syarikat farmaseutikal.

Bersangka baik dahulu

Pembelian vaksin yang dikehendaki di seluruh dunia bukan macam membeli minyak yang mempunyai pasaran jualan terbuka. Syarikat-syarikat farmaseutikal mempunyai perkiraan sendiri dalam penentuan harga.

Antaranya ia berdasarkan kuantiti pembelian, jarak penghantaran, dan pengurusan penyimpanan (storage) kerana vaksin itu perlu disimpan pada tahap suhu tertentu bagi memastikan proses penghantarannya tidak merosakkan kandungan vaksin.

Perkara lain yang diambil kira dalam penentuan harga kepada negara tertentu ialah sumbangan dana dan komitmen negara tersebut kepada usaha penyelidikan mereka.

Misalnya Amerika Syarikat (AS) menyumbang hampir AS$1 bilion kepada syarikat farmaseutikal, Moderna. Pfizer menerima sumbangan AS$445 juta daripada Jerman melalui BioNTech SE, dan komitmen pembelian lebih 100 juta unit vaksin dari AS.

Justeru buat masa ini adalah elok para pemimpin politik membenarkan kerajaan menguruskan pembelian ini secara profesional dan berhemah.

Selepas ini jika ada bukti penyelewengan, maka kita boleh ambil tindakan ke atas pihak terbabit. Jangan dicurahkan air dalam tempayan terlebih dahulu hanya kerana mendengar guruh di langit!

*Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)