Warga emas maut terseret

Keadaan kereta yang terbabit dalam nahas di Kilometer 62.8 Jalan Ipoh - Kuala Lumpur hari ini.
Keadaan kereta yang terbabit dalam nahas di Kilometer 62.8 Jalan Ipoh - Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

TAPAH - Seorang lelaki warga emas maut apabila motosikal ditunggangi dirempuh dan diseret sebuah kereta dipandu seorang pelajar dalam kemalangan di Kilometer 62.8 Jalan Ipoh - Kuala Lumpur di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian sekitar jam 4.30 petang itu, A Erriah, 66, beralamat dari Langkap disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, nahas dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Viva dipandu remaja perempuan berusia 17 tahun itu hilang kawalan.

Menurutnya, kereta berkenaan yang dalam perjalanan ke arah Ipoh telah melanggar motosikal Honda EX-5 mangsa yang berada di hadapan mengakibatkan warga emas itu terseret hingga tersangkut di penghadang besi di bahu kiri jalan.

"Kereta yang dipandu pelajar itu melanggar penghadang besi sebelum terjunam," katanya.

Beliau berkata, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat.

Katanya, remaja berkenaan mengalami patah tangan sementara rakannya berusia 18 tahun yang duduk di kerusi penumpang hadapan cedera ringan.

"Semakan mendapati, pemandu kereta itu mempunyai lesen memandu. Tiada tangkapan dibuat setakat ini dan siasatan kes masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel Berkaitan:

Motosikal dinaiki mangsa remuk selepas dirempuh sebuah kereta di Kilometer 62.8 Jalan Ipoh - Kuala Lumpur hari ini.
Motosikal dinaiki mangsa remuk selepas dirempuh sebuah kereta di Kilometer 62.8 Jalan Ipoh - Kuala Lumpur hari ini.