Senarai nama pemohon PPR Taman Jerlun dipaparkan Isnin depan

Zuraida ketika mesyuarat bersama Exco Perumahan Kedah, Robert Ling Kui Ee bagi membincangkan isu PPR Taman Jerlun.
Zuraida ketika mesyuarat bersama Exco Perumahan Kedah, Robert Ling Kui Ee bagi membincangkan isu PPR Taman Jerlun.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mengeluarkan senarai 630 pemohon yang layak menduduki Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Jerlun di Air Hitam, Kedah Isnin depan.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, terdapat isu teknikal yang perlu diselesaikan sebelum ini menyebabkan kelewatan pengisian penduduk.

Bagaimanapun beliau berkata, kementerian berkenaan telah menimbangkan beberapa kaedah penyelesaian supaya semua isu diselesaikan secepat mungkin dan pemohon dapat menduduki perumahan terbabit dalam masa terdekat.

“Pemohon diberi masa selama 10 hari dan bukannya tempoh sebulan lagi untuk memberi jawapan penerimaan tawaran ini dibenarkan masuk ke unit masing-masing,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan mesyuarat bersama Exco Perumahan Kedah, Robert Ling Kui Ee di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, beberapa penduduk di Jerlun mengadakan bantahan bagi mendesak campur tangan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dan kerajaan Pusat berhubung isu PPR berkenaan.

Mereka mendakwa tiada sebarang maklum balas yang diberikan kepada pemohon sedangkan projek perumahan tersebut siap pada Julai tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Minta MB Kedah, kerajaan Pusat campur tangan isu PPR Jerlun

Selain itu, 300 unit daripada 630 kediaman yang telah siap rosak, siling bocor, dinding retak, wayar elektrik tercabut dan dicuri disebabkan projek berkenaan terbiar.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, bagi projek berkenaan pihaknya akan menggunakan pendekatan berbeza bagi memastikan semua rumah PPR terbabit terus diisi oleh pemohon.

Katanya, sekiranya rumah-rumah berkenaan dibiarkan kosong mungkin akan menyebabkan lagi banyak kerosakan dan kes kecurian yang berlaku.

“Kesemua 630 pemohon akan masuk ke rumah masing-masing dengan kaedah sewa dahulu untuk tempoh setahun dan dalam waktu itu mereka boleh uruskan permohonan dan kelulusan pinjaman daripada bank.

“Bagi mereka yang masih tidak layak, kita mungkin akan beri tempoh tambahan beberapa bulan untuk uruskan pinjaman dan sekiranya gagal kita akan tukarkan pembeli,” katanya.