Kelantan catat dua kluster, 54 kes baharu

No Image Caption
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) pada Sabtu memaklumkan dua kluster baharu Covid-19 di Kelantan iaitu Kluster Halban dan Seragam Chepa.

JKNK melalui Facebook rasminya turut memberitahu, Kluster Halban melibatkan daerah Kota Bharu dan indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-505 telah dilaporkan positif Covid-19 pada 23 Disember melalui saringan kontak rapat.

Sehingga kini, 99 individu telah disaring dan 29 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini.

"Kluster Seragam Chepa pula melibatkan daerah Kota Bharu, Bachok dan Tumpat. Kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-503 yang mana dilaporkan positif Covid-19 pada 22 Disember melalui saringan individu bergejala.

"Sehingga kini, 430 individu telah disaring dan 13 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini," kata JKNK.

Untuk rekod, sehingga jam 12 tengah hari Kelantan mencatatkan sebanyak 54 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 575 kes.

Sebanyak 27 kes kontak rapat Kluster Halban melibatkan 11 Kes Saringan Berisiko Luar Negeri (Import B) lapan kes kontak rapat Kluster Seragam Chepa, empat kes kontak rapat kes ke 519 iaitu saringan SARI.

Selain itu, dua kes saringan Survelan Covid-19 (SARI), satu kes kontak rapat kes ke 499 dari Selangor dan satu kes pra pembedahan.

Artikel Berkaitan:

Satu kes tamat tempoh pemantauan 14 hari iaitu kes tempatan di Mukim Kota, Kota Bharu dan tidak akan dikira sebagai kes aktif.

Kota Bharu berada di zon merah dengan mencatatkan 70 kes tempatan dan enam daerah pula berada di zon kuning iaitu Pasir Puteh, Jeli, Machang, Tumpat, Pasir Mas dan Bachok.

Tiga daerah dalam zon hijau ialah Gua Musang, Kuala Krai dan Tanah Merah.

JKNK ingin menasihati orang ramai supaya terus mematuhi saranan serta nasihat kesihatan iaitu mengelakkan kawasan yang sesak, sempit dan tidak bersembang pada jarak dekat.