Parlimen Alor Setar: Biar kepimpinan Pusat tentukan

Goh Chin Cheung
Goh Chin Cheung
A
A
A

ALOR SETAR - MCA Kedah menyerahkan kepada kebijaksanaan kepimpinan Pusat untuk menentukan parti yang layak bertanding di kerusi Parlimen Alor Setar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Goh Chin Cheung berkata, mana-mana parti boleh menawarkan diri untuk dicalonkan di mana-mana kerusi namun keputusan muktamad ditentukan pucuk pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, sama ada kerusi tradisi milik MCA itu terus kekal ditandingi parti itu atau sebaliknya ia bukan ditentukan oleh MCA semata-mata.

“Sesiapa pun boleh tawarkan diri untuk bertanding. Kita serahkan sahaja kepada pucuk pimpinan tertinggi untuk tentukan,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Chin Cheung berkata, setakat ini parti komponen BN Kedah belum lagi mengadakan mesyuarat bagi membincangkan agihan kerusi berkenaan.

Agihan kerusi PRU15 dijangka sengit susulan gabungan parti kini lebih banyak berbanding PRU14 lalu. Perikatan Nasional (PN) menggabungkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, UMNO, MCA, MIC serta bebas yang juga bekas ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan Datuk Seri Azmin Ali.

Pembangkang pula iaitu Pakatan Harapan (PH) dianggotai Parti Amanah Nasional (Amanah), DAP dan PKR diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kem Tun Dr Mahathir Mohamad yang meninggalkan Bersatu pula menubuhkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang kini diterajui Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Artikel Berkaitan:

Ketika mengulas masa sesuai bagi komponen BN memuktamadkan perbincangan agihan kerusi PRU15 bersama rakan gabungan parti, Chin Cheung berkata, Pusat harus menentukan namun perlu memastikan ia tidak terlalu awal atau terlewat untuk melakukan penyesuaian.

Kelmarin, UMNO Bahagian Alor Setar menyatakan hasrat mahu meletakkan calonnya bertanding di Parlimen Alor Setar pada PRU15 walaupun kerusi terbabit secara tradisinya milik MCA.

Ketuanya, Datuk Mohd Yusof Ismail berkata, ini kerana pada PRU13 dan PRU14, kerusi Parlimen Alor Setar yang ditandingi MCA mengalami kekalahan teruk.

Alor Setar antara kawasan Parlimen majoriti pengundi Melayu yang tinggi, 63.58 peratus dan majoriti itu dijangka terus meningkat.

Pada PRU14, MCA meletakkan Datuk Yoo Wei How sebagai calon kerusi Parlimen Alor Setar namun kalah kepada calon PKR, Chan Ming Kai.

Wei How hanya memperoleh 14,181 undi manakala calon Pas, Muhammad Aminur Shafiq Mohamad Abduh (17,275 undi) dan Ming Kai (32,475 undi).

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO tawar diri bertanding kerusi Parlimen Alor Setar