Sabah mahu manfaat sama diterima Sarawak daripada Petronas

Jeffrey - Foto fail Bernama
Jeffrey - Foto fail Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Sabah mahu jumlah Cukai Jualan Negeri yang sama diberikan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) kepada Sarawak terhadap sumber minyak dan gasnya, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

Beliau berkata, kerajaan Sabah akan memastikan Petronas memberikan jumlah yang tidak rendah kepada Sabah berbanding Sarawak.

Pada 7 Disember lepas, Sarawak menandatangani perjanjian komersial dengan Petronas, perjanjian itu membolehkan kerajaan Sarawak, melalui anak syarikatnya Petroleum Sarawak Berhad (Petros) memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan industri minyak dan gas melalui kerjasama dengan syarikat minyak negara itu.

"Kami jangka Sabah akan menerima jumlah yang tidak kurang daripada Sarawak dapat kerana kami tidak minta kurang. Kalau dapat lebih, itu lagi bagus," kata Jeffrey kepada pemberita selepas pelancaran Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Putatan di sini Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah Sabah bakal menerima jumlah yang sama seperti Sarawak apabila rundingan dengan Petronas itu selesai.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2021 berkata Perdana Menteri Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan bahawa Petronas akan bertemu dengan kerajaan Sabah untuk memulakan rundingan segera bagi tujuan yang sama (perjanjian komersial dengan Petronas).

Sementara itu, Jeffrey yang juga Presiden STAR berkata, rundingan antara kerajaan Sabah dan Petronas mengenai perkara tersebut dijangka diadakan pada awal tahun depan.

Sabah dijangka mengutip Cukai Jualan Negeri ke atas Produk Petroleum bernilai RM1.25 bilion atau 27.9 peratus daripada keseluruhan hasil negeri pada tahun depan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Jeffrey berkata, rakyat perlu terus menghormati kepelbagaian agama dan budaya di Sabah bagi memperkukuhkan lagi perpaduan dan keharmonian kaum di negeri itu.

“Rakyat Sabah adalah istimewa kerana dalam satu keluarga yang tinggal di bawah satu bumbung (rumah), ada antara mereka menganut agama berbeza. Tetapi, kami boleh duduk bersama-sama dengan harmoni di bawah satu bumbung.

“Kami tidak goyah dalam soal budaya kerana kami saling menghormati antara satu sama lain. Kita perlu mempromosikan keharmonian serta perpaduan dan bukannya perpecahan,” katanya. - Bernama