SUV, lori terbakar, tiga cedera

Dua kenderaan terbakar selepas kemalangan di Jalan Rasah - Port Dickson.
Dua kenderaan terbakar selepas kemalangan di Jalan Rasah - Port Dickson.
A
A
A

SEREMBAN - Tiga lelaki cedera apabila kenderaan yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Jalan Rasah-Port Dickson berhampiran Masjid Jamek Datuk Bandar Haji Ahmad, Rasah pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, kemalangan kira-kira jam 12.05 tengah hari itu turut menyebabkan kedua-dua buah kenderaan terbabit iaitu utiliti sukan (SUV), Proton X70 dan lori Inokom terbakar.

"Kejadian dipercayai berlaku apabila lori yang dinaiki tiga individu berhenti di lorong kecemasan untuk melakukan kerja-kerja pemasangan kain rentang di tiang lampu.

"Tiba-tiba datang sebuah kereta Proton X70 yang dinaiki dua individu dari arah yang sama lalu melanggar bahagian belakang lori tersebut. Akibatnya kedua-dua kenderaan itu terbakar," katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, berikutan itu, pemandu dan penumpang kereta serta seorang penumpang lori cedera manakala dua lagi selamat, kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban, Hamlan Ishak berkata, pihak bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 12.06 tengah hari dan tiba di lokasi sembilan minit kemudian.

"Seramai 13 anggota Balai Bomba Seremban dan Balai Bomba Seremban 2 terbabit membantu memadamkan kebakaran. Terdapat lima mangsa yang terlibat dalam insiden tersebut dan mereka diselamatkan oleh orang awam.

“Siasatan awal mendapati pelanggaran kedua-dua buah kenderaan menyebabkan kebakaran. Kami turut menggunakan satu unit ‘foam’ untuk memadamkan kebakaran berkenaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Keadaan lori yang terbakar selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Rasah - Port Dickson.
Keadaan lori yang terbakar selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Rasah - Port Dickson.