DBKL ambil tindakan tegas peniaga bina struktur kekal

Tindakan menyimen bahagian siar kaki dengan rumput oleh penjaja di Bandar Sri Permaisuri. - Foto FB Abam Penguatkuasa.
Tindakan menyimen bahagian siar kaki dengan rumput oleh penjaja di Bandar Sri Permaisuri. - Foto FB Abam Penguatkuasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan penguatkuasaan terhadap penjaja yang dikesan mengambil kesempatan dan melanggar garis panduan inisiatif Wilayah Bebas Berniaga (WBB).

Sumber Jabatan Penguatkuasaan DBKL berkata, selepas nasihat dan peringatan, DBKL akan menyita dan merobohkan struktur kekal yang dibina penjaja tepi jalan sehingga merosakkan kemudahan awam dan kacau ganggu.

Menurutnya, bermula minggu depan, Jabatan Penguatkuasaan DBKL dan Pengurus Cawangan DBKL setiap Parlimen akan mengenal pasti penjaja yang melakukan kesalahan itu. Notis peringatan akan dikeluarkan dan penguatkuasaan tegas bagi yang ingkar.

"Sudah tiba masa penguatkuasaan lebih tegas dilakukan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata demikian mengulas masalah penjaja di Jalan Permaisuri 6, Bandar Sri Permaisuri di sini yang dikesan mengambil kesempatan membina tapak atau bangunan kekal hingga merosakkan kawasan hijau dan siar kaki di sana.

Tindakan menyimen bahagian siar kaki dengan rumput oleh penjaja di Bandar Sri Permaisuri. - Foto FB Abam Penguatkuasa.
Tindakan menyimen bahagian siar kaki dengan rumput oleh penjaja di Bandar Sri Permaisuri. - Foto FB Abam Penguatkuasa.

Mengulas perkara itu, sumber Jabatan Penguatkuasaan DBKL itu memaklumkan telah memberikan notis kepada peniaga terlibat.

Justeru, beliau mengingatkan peniaga untuk patuh peraturan ditetapkan susulan pihaknya mengesan masih ramai yang ingkar dengan membina struktur kekal.

Artikel Berkaitan:

"WBB memang membenarkan warga kota yang terjejas berniaga tetapi hanya sementara dalam tempoh enam bulan dengan menggunakan khemah.

"Selain kes di Bandar Sri Permaisuri, DBKL turut menerima aduan sama di beberapa lokasi termasuk Setiawangsa," katanya.

Terdahulu, Facebook Abam Penguatkuasa berkongsi gambar tindakan tidak bertanggungjawab membina tapak pada siar kaki menggunakan simen Bandar Sri Permaisuri.

"Diberi betis kau nak peha pula. Inilah ungkapan bagi penjaja jalanan yang biadab! Kurang ajar! Mengambil kesempatan untuk membina tapak atau bangunan kekal dengan merosakkan kawasan hijau dan siar kaki.

"Tindakan telah diambil oleh Penguatkuasa JPK DBKL dan boleh dikenakan kompaun maksimum RM50, 000 di bawah Seksyen 39(2) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 kerana mengalih ganti, mengambil tempat atau membuat apa-apa perubahan dengan sengaja merosakkan atau menyebabkan kerosakan pada mana mana jalan, siar kaki kepunyaan Pihak Berkuasa Tempatan, " menurut perkongsian itu, dua hari lalu.