KPKT bangunkan semula kawasan perumahan usang

Zuraida menghadiri mesyuarat bersama Exco Perumahan Negeri Kedah berhubung masalah PPR Ayer Hitam di Jerlun, Kedah pada Sabtu.
Zuraida menghadiri mesyuarat bersama Exco Perumahan Negeri Kedah berhubung masalah PPR Ayer Hitam di Jerlun, Kedah pada Sabtu.
A
A
A

BAYAN LEPAS - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang memperkemaskan dasar pembangunan semula rumah awam bagi memberi nafas baharu pada kawasan perumahan yang usang dan bermasalah.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, dasar berkenaan akan dimasukkan dalam urusan Parlimen untuk diluluskan berikutan terdapat beberapa pindaan perlu dilakukan mengenai syarat dan persetujuan penduduk.

Menurutnya, terdapat banyak perumahan awam dan kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang perlu diberi perhatian terutamanya penempatan lama yang berusia lebih 30 tahun.

"Kita lihat kaedah penyelenggaraan rumah-rumah lama ini sudah tidak lagi kos efektif dan ekonomi kerana kos yang diperlukan sangat tinggi untuk membaiki pelbagai kerosakan dan menyelesaikan masalah lain.

"KPKT menggalakkan program pembangunan semula perumahan ini yang mana rumah usianya lebih 30 tahun kita akan robohkan dan bina semula rumah baharu yang lebih selesa dengan kemudahan yang lengkap terutamanya untuk golongan B40," katanya dalam sidang akhbar di sini tengah hari Sabtu.

Terdahulu, Zuraida menghadiri mesyuarat bersama Exco Perumahan Negeri Kedah berhubung masalah PPR Ayer Hitam di Jerlun, Kedah.

Zuraida (kiri) menghadiri mesyuarat bersama Exco Perumahan Negeri Kedah berhubung masalah PPR Ayer Hitam di Jerlun, Kedah pada Sabtu.
Zuraida (kiri) menghadiri mesyuarat bersama Exco Perumahan Negeri Kedah berhubung masalah PPR Ayer Hitam di Jerlun, Kedah pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, melalui program pembangunan semula ini pemilik rumah akan menerima rumah baharu yang lebih luas berikutan polisi yang ditetapkan KPKT menggariskan rumah mampu milik mestilah dibina sekurang-kurangnya 900 kaki persegi berbanding 750 kaki persegi sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, projek ini tidak menggunakan perbelanjaan daripada kerajaan sebaliknya akan menggunakan penglibatan pihak swasta bagi membangunkan semula kawasan terlibat.

"Mereka (pemaju swasta) akan merobohkan dan bangunkan semula rumah baharu untuk pemilik lama dan sebahagian tanah itu mereka boleh membina rumah untuk jualan mereka sendiri," katanya.

Dalam pada itu, Zuraida berkata, kerajaan hanya meluluskan peruntukan RM100 juga dalam Belanjawan 2021 bagi kerja-kerja penyelenggaraan perumahan di seluruh negara.

Beliau berkata, pihaknya menerima banyak permintaan bagi peruntukan penyelenggaraan rumah di seluruh negara dan ia akan diagihkan secara adil kepada semua pihak.

“Kita menerima banyak permintaan, sebab itu kita memperkenalkan program pembangunan semula ini bagi mengurangkan kos penyelenggaraan yang semakin meningkat,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan Pulau Pinang dilaporkan memohon agar kerajaan Persekutuan mempertimbangkan peruntukan penyelenggaraan perumahan negeri sebanyak RM86 juta untuk tahun depan.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo berkata, kerajaan negeri telah menerima peruntukan RM32 juta daripada kerajaan Pusat bermula awal tahun ini untuk tahun 2020 dan berharap peruntukan itu dapat diteruskan, lebih-lebih lagi dalam persekitaran pandemik Covid-19 ketika ini.