Maritim lancar SAR kesan dua lelaki termasuk bakal pengantin hilang

Masyarakat setempat mengadakan solat hajat bagi mendoakan pencarian tersebut berjalan lancar di lokasi Pantai Jambu Bongkok pada Sabtu.
Masyarakat setempat mengadakan solat hajat bagi mendoakan pencarian tersebut berjalan lancar di lokasi Pantai Jambu Bongkok pada Sabtu.
A
A
A

MARANG - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan dua lelaki yang dikhuatiri lemas termasuk seorang bakal pengantin dalam kejadian berasingan di daerah ini petang Jumaat.

Pengarahnya, Kepten (M) Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, seramai 20 anggota terlibat dalam gerakan yang bermula seawal jam 7 pagi Sabtu bagi mencari mangsa di Pantai Jambu Bongkok dan Pantai Kelulut di sini.

“Kita menggerakkan dua aset bot di kedua-dua lokasi yang melibatkan penugasan radius lima batu nautika dari lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang," katanya menerusi satu kenyataan media pada Sabtu.

Muhammad Suffi berkata, operasi itu juga turut dibantu masyarakat setempat dalam memantau pencarian mangsa.

"Kami dimaklumkan masyarakat setempat juga turut mengadakan solat hajat dan mendoakan agar pencarian tersebut berjalan lancar.

"Maritim Malaysia juga meminta kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat dan kejadian kecemasan yang berlaku di perairan Negara ke talian MERS 999 atau 09-6224357 (Pusat Operasi) Maritim Negeri," katanya.

Selain Maritim Malaysia, pihak yang turut terlibat dalam pencarian ini terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Relawan Malaysia (Rela) serta pasukan pengawal pantai dan sukarelawan di lokasi berhampiran.

Dalam kejadian di Pantai Kelulut di sini, bakal pengantin, Naim Hariri Kamaruddin, 31, dari Cheras, Kuala Lumpur datang bersama ahli keluarga ke daerah ini untuk melangsungkan pernikahan bersama pasangannya, Fatin Nabilah Huda Ismail, 27, pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Pasangan itu dijadualkan bernikah di kediaman Fatin Nabilah Huda di Kampung Surau Haji Mat Zin, Bukit Payong, di sini jam 10 pagi.

ARTIKEL BERKAITAN Majlis perkahwinan diteruskan, pelamin sepi tanpa pengantin

Bakal pengantin dijadual nikah hari ini dikhuatiri lemas

Difahamkan, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dikatakan mandi sebelum ditarik ombak kira-kira jam 6.40 petang.

Dalam kejadian di Pantai Jambu Bongkok, di sini iaitu kira-kira jam 6.38 petang pula, seorang lelaki berusia 48 tahun dari Kampung Bukit Tok Bat Batu 24, Kuala Berang, Hulu Terengganu yang dikhuatiri lemas selepas mandi bersama enam rakannya sebelum ditarik ombak ke tengah laut.