'Sesusah mana pun, saya tetap jaga mereka'

Zainah yang ditemui di kediamannya di Taman Sri Penggaram Penggaram menyatakan dia mengambil tanggungjawab menjaga keempat-empat mereka sepenuhnya setelah suaminya, Mohd Palil Abd Rahman, meninggal dunia pada bulan Mac lepas. - Foto Bernama
Zainah yang ditemui di kediamannya di Taman Sri Penggaram Penggaram menyatakan dia mengambil tanggungjawab menjaga keempat-empat mereka sepenuhnya setelah suaminya, Mohd Palil Abd Rahman, meninggal dunia pada bulan Mac lepas. - Foto Bernama
A
A
A

BATU PAHAT- Meskipun menghidap diabetis kronik, namun demi kasih sayang terhadap darah dagingnya, seorang wanita warga emas, Zainah Ali tetap bersemangat dan tabah menjaga seorang abang dan adik lelaki serta dua anak lelakinya, yang kesemuanya dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU).

Zainah, 68, berkata, dia memikul tanggungjawab berkenaan selepas suaminya, Mohd Palil Abd Rahman meninggal dunia, 18 Mac lepas akibat komplikasi saluran perkumuhan selepas setahun disahkan menghidap penyakit itu.

Menurut Zainah, keempat-empat mereka iaitu Mustapha Ali, 71, Salleh Ali, 66, Norul Imran Mohamed@Palil, 32, dan Mohamad Solehin Mohamed@Palil, 28, dikategorikan sebagai OKU dalam masalah pembelajaran sejak kecil.

“Sesusah mana pun, saya tetap akan menjaga mereka selagi saya hidup dan terdaya kerana ia merupakan amanah. Jika bukan saya yang menjaga mereka...siapa lagi?

“Sekarang saya hanya memikirkan nasib apabila saya tiada kelak, siapa pula yang akan menjaga mereka, terutamanya anak-anak,” katanya yang ditemui Bernama di rumahnya di Taman Sri Penggaram, di sini pada Sabtu.

Tambah Zainah, buat masa ini dia hanya bergantung pendapatan menerusi pencen bulanan arwah suaminya sekitar RM1,000 yang sebelum ini bertugas sebagai pekerja am di sebuah agensi kerajaan.

Katanya, anak dan adik-beradiknya itu kini terputus daripada bantuan secara bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akibat masalah proses kemas kini setelah mereka berpindah ke daerah ini, dua tahun lepas.

“Sebelum ini, kami tinggal di Kota Tinggi dan perlu mengemas kini lokasi kediaman terbaharu dengan JKM serta perlu menukar alamat di dalam kad pengenalan. Namun, kami tidak dapat melakukannya kerana bermasalah untuk berbuat demikian, memandangkan saya tidak berupaya selain mempunyai penyakit kronik,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Biro Kebajikan Jawatankuasa Penyelaras Khas Dewan Undangan Negeri (JPKD) Penggaram, Mohd Hamidi Mad Tap berkata, pihaknya telah dimaklumkan perkara berkenaan dan akan membantu keluarga terbabit untuk membuat kad pengenalan baharu.

“Kita juga akan berurusan dengan JKM Daerah Batu Pahat untuk proses penyambungan bantuan secara bulanan yang diterima mereka sebagaimana sebelum ini,” kata Mohd Hamidi yang juga Ketua Biro Kebajikan UMNO Bahagian Batu Pahat.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga Zainah boleh berhubung dengan Mohd Hamidi menerusi talian 019-708 6716. -Bernama