Agong selamat pulang dari lawatan di Abu Dhabi

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selamat tiba di KLIA dari Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu pada pagi Sabtu. -Foto Facebook Istana Negara
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selamat tiba di KLIA dari Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu pada pagi Sabtu. -Foto Facebook Istana Negara
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu pada pagi Sabtu.

Menurut kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook Istana Negara, pesawat khas yang membawa Seri Paduka Baginda dan delegasi selamat mendarat pada jam 11 pagi.

Sejurus keberangkatan tiba, Al-Sultan Abdullah menjalani ujian saringan Covid-19 di Kompleks Bunga Raya, KLIA mengikut ketetapan prosedur operasi standard oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Selepas menjalani ujian saringan Covid-19 di Kompleks Bunga Raya, Seri Paduka Baginda turut berkenan memakai gelang kuarantin dan akan menjalani kuarantin kendiri selama tujuh hari," demikian menurut kenyataan itu.

Anggota delegasi Seri Paduka Baginda pula akan menjalani kuarantin diri di lokasi yang telah ditetapkan oleh KKM.

Terdahulu, sebelum berangkat pulang ke tanah air, Seri Paduka Baginda turut menjalani ujian saringan Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Abu Dhabi.

Lawatan khas selama lima hari Seri Paduka Baginda ke Abu Dhabi yang berakhir pada Jumaat adalah atas jemputan Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan. - Bernama

Artikel Berkaitan: