‘Saya nak lihat sejauh mana majikan boleh sembunyikan pekerja’

Saravanan
Saravanan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Sumber Manusia ingin melihat sejauh mana majikan di sebuah kilang sarung tangan yang dikatakan telah membawa lari para pekerja asing mereka dari tempat penginapan dan disembunyikan di hotel berhampiran pada malam serbuan baru-baru ini boleh terlepas.

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, tindakan dan tipu helah yang cuba dilakukan oleh majikan kepada kerajaan untuk menutup kelemahan serta kesalahan mereka itu tidak akan berterusan selama-lamanya.

Katanya, kejadian itu diketahui selepas Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) membuat serbuan di sebuah kilang bagi tujuan pemeriksaan penginapan pekerja asing di dalam premis yang terletak di kawasan Perindustrian Bandar Sulatan Sulaiman, Pelabuhan Utara di Klang pada Khamis lalu.

"Baru-baru ini kita ada buat serbuan di sebuah kilang sarung tangan di kawasan Pelabuhan Klang, walaupun kita terima bukti cukup kukuh bahawa tempat penginapan yang disediakan untuk pekerja mereka tidak sesuai dan melanggar Akta 446 tetapi atur operasi maklumat serbuan sudah terbocor.

"Sebelum kita sampai untuk serbuan dan pemeriksaan di kilang itu, majikan melarikan pekerja mereka dari longgokan bilik sempit ke tempat lain iaitu di sebuah hotel berhampiran bagi tujuan mengelakkan diri daripada diketahui pihak berkuasa," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pagar dipanjat pekerja Top Glove masih dalam kawasan PKPD

Beliau berkata demikian selepas upacara penyampaian cek biasiswa dan pinjaman pendidikan Insitut Pembangunan Pendikan Maju (MiED) di HGH Convention Centre, di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Tapah itu berkata, tuntutan dan saranan kerajaan kepada setiap majikan yang menguruskan pekerja asing adalah dengan menyelesaikan masalah pekerja asing seperti termaktub dalam akta.

Artikel Berkaitan:

Malah katanya, majikan berkenaan tidak perlulah mengambil kesempatan dengan mencari jalan pintas mencabar undang-undang dan menyembunyikan pekerja.

"Itu bukan cara majikan menyelesaikan masalah atau kelemahan di tempat kerja termasuk penganiayaan kepada pekerja asing mahupun tempatan kita dengan membawa lebih 2,000 pekerja dan letak di hotel selama sehari dua daripada dikesan kerajaan," katanya.

Pada masa sama, Saravanan berkata, kilang berkenaan sedang dipantau rapi dan diambil tindakan lanjut oleh kerajaan.

"Pihak kami sedang memantau rapi kilang itu. Saya nak lihat berapa lama majikan berkenaan boleh bawa lari pekerja dan sembunyikan daripada kami.

“Syarikat mungkin masih boleh beroperasi seperti biasa, namun pihak kami akan bertindak pada masa yang sesuai tidak lama lagi," katanya.