Covid-19: PKRC diwujudkan dalam Penjara Kluang

R Vidyananthan
R Vidyananthan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sebuah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) diwujudkan dalam Kompleks Penjara Kluang bagi merawat pesakit Covid-19 tanpa gejala dan gejala ringan.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, PKRC diwujudkan selepas Kluster Tembok Gajah dikesan di Penjara Kluang sejak 18 Disember lalu.

"Sehingga 25 Disember, kumulatif kes setakat ini sebanyak 634 kes melibatkan 597 banduan dan 35 kakitangan penjara serta keluarga mereka.

"Tindakan pencarian kes secara aktif (ACD) oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri dalam mengekang penularan secepat mungkin masih dilakukan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Kluang," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

Menurutnya, pihak yang terlibat PKPD di asrama pekerja Westlite, Taman Perindustrian Tampoi Jaya yang berkuatkuasa bermula 26 Disember sehingga 8 Januari 2021 digesa supaya mematuhi arahan.

"Arahan ini susulan peningkatan kes Covid-19 yang dilaporkan dalam kalangan penghuni dan sehingga Jumaat, terdapat 115 kes positif daripada 3,116 penghuni di asrama tersebut.

"PKPD ini melibatkan 231 unit rumah dengan anggaran sebanyak 3,116 orang penghuni dalam asrama," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, diharap pihak majikan dan pekerja mematuhi prosedur operasi standard (SOP) normal baharu bagi memutuskan rantaian jangkitan pandemik berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Pematuhan SOP tersebut merupakan tanggungjawab pekerja dan majikan. Majikan juga diingatkan memberi kerjasama yang sepenuhnya kepada Jabatan Kesihatan serta agensi-agensi yang terlibat dalam membendung penularan Covid-19," katanya.

Katanya, sehingga Jumaat kumulatif kluster aktif di Johor berjumlah 21 antaranya Kluster Tampoi Jaya di mukim Tebrau, Kluster Batu 39 (mukim Api-api), Kluster Jalan Timah (mukim Plentong) dan Kluster Tembok Gajah (mukim Kluang).

"Ini termasuk Kluster Utama Rini (mukim Pulai), Kluster Cahaya Mahsuri (mukim Tebrau), Kluster Desa Idaman (mukim Senai), Kluster Langkasuka (mukim Tebrau), Kluster Tenun Merah (mukim Simpang Kanan) dan Kluster Jalan Dalam (mukim Pulai)," katanya.