Kartel daging: Kerajaan perlu siasat kakitangan, pegawai terlibat

Pada 2 Disember lalu, Sinar Harian mendedahkan Maqis serta KPDNHEP menyerbu sebuah stor di Senai, yang didapati meletakkan label halal terhadap daging yang diimport. Gambar kecil: Jimmy Puah Wee Tse
Pada 2 Disember lalu, Sinar Harian mendedahkan Maqis serta KPDNHEP menyerbu sebuah stor di Senai, yang didapati meletakkan label halal terhadap daging yang diimport. Gambar kecil: Jimmy Puah Wee Tse
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan perlu menyiasat dakwaan kakitangan dan pegawai kerajaan mendapat habuan wang dan seks daripada kartel import daging yang melakukan pemalsuan logo halal bagi memastikan mereka bebas menjalankan aktiviti haram.

Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, ini kerana apa yang dilakukan sindiket kartel tersebut dan pegawai kerajaan terlibat sangat berat kesalahannya, tidak bertanggungjawab dan mencemar nama baik industri halal negara.

Menurutnya, kegiatan mereka ini tiada beza dengan insiden di negara lain yang memproses beras dan telur palsu.

"Justeru saya mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Majlis Agama Islam Negeri Johor dan lain-lain agensi berwajib bertindak.

"Tindakan tegas dan sekeras-kerasnya terhadap mereka yang terlibat tanpa mengira agama dan bangsa. Kerajaan juga perlu memberi jaminan kepada rakyat supaya isu seperti ini tidak lagi berulang pada masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Jangan salahkan Jakim, JAIN dalam isu kartel daging

Pada 2 Disember lalu, Sinar Harian dalam laporan khasnya mendedahkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (Maqis) serta KPDNHEP menyerbu sebuah stor di Senai, dekat sini yang didapati meletakkan label halal terhadap daging yang diimport.

Jimmy Puah berkata, masalah rasuah dilihat sudah membarah dan isu itu bukan sahaja melibatkan status halal diragui bahkan daripada sudut kebersihan juga tidak terjamin kerana tidak dipantau mengikut tatacara ketat yang sepatutnya oleh pihak berkuasa.

Artikel Berkaitan:

"Kawan-kawan saya ramai daripada kalangan Muslim dan kakitangan saya juga ramai Muslim. Apa-apa isu melibatkan halal, haram dan kebersihan makanan tersangatlah sensitif dan penting bagi mereka. Terutamanya apabila terkait dengan soal ibadah.

"Saya difahamkan, mengikut kepercayaan agama Islam, ibadah sukar diterima tuhan jika penganutnya memakan makanan haram atau status halal yang diragui," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu.

Walaupun bukan Muslim, beliau berkata, atas semangat rakyat Malaysia, pihaknya bersolidariti untuk kawan-kawan Muslim dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan sindiket kartel daging berkenaan.

Selain itu katanya, memakan makanan yang bersih sememangnya dituntut bukan sahaja oleh agama Islam tetapi juga agama lain supaya beroleh tubuh badan yang sentiasa sihat dan cergas.

ARTIKEL BERKAITAN:Gudang kartel proses daging babi

Kartel tukar daging haram jadi halal