KSM bakal lancar aplikasi komunikasi dua hala kerajaan-pekerja

Saravanan ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Maju Institute of Education Development (MIED) di HGH Convention Centre, Kuala Lumpur pada Sabtu. -Foto Bernama
Saravanan ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Maju Institute of Education Development (MIED) di HGH Convention Centre, Kuala Lumpur pada Sabtu. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan memperkenalkan satu aplikasi baharu yang bakal berfungsi sebagai platform komunikasi dua hala antara kerajaan dengan pekerja tempatan dan asing.

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, aplikasi yang dijangka dilancar pada 11 Januari ini akan memberi peluang kepada pekerja untuk memaklumkan secara terus kepada kerajaan mengenai sebarang pengabaian kebajikan oleh majikan terhadap pekerja mereka.

“Pekerja tidak mempunyai akses langsung kepada kerajaan (untuk membuat aduan) ... dengan adanya aplikasi baharu ini, (contohnya) apabila majikan tidak menyediakan tempat tinggal selesa mengikut Akta 446 atau tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) kesihatan, pekerja boleh berhubung dengan kerajaan dan identiti (pekerja) akan dirahsiakan.

“Kami akan berhubung secara langsung dengan pekerja, tidak kira sama ada, mereka pekerja tempatan ataupun pekerja asing. Aplikasi ini merupakan platform aduan dan maklumat yang diberikan akan membantu mempercepat tindakan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) sekiranya berlaku penindasan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan cek pinjaman pendidikan Maju Institute of Educational Development (MIED) 2020 kepada 301 penerima di sini pada Sabtu.

Menurutnya, aplikasi dalam pelbagai bahasa itu bertujuan membantu pekerja tempatan dan asing untuk menyalurkan maklumat terus kepada pihak kerajaan.

Dalam pada itu, Saravanan turut mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana majikan yang ingkar dalam isu menjaga kebajikan pekerja mereka.

“... pada masa sama, KSM mahu dorong majikan untuk lebih bertanggungjawab terhadap kebajikan pekerja mereka. Imej negara kita kurang baik khususnya di peringkat antarabangsa (Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dari segi kita jaga pekerja,” jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Berhubung laporan media mengenai sebuah kilang di Klang didakwa memindahkan pekerja ke hotel sebelum serbuan dilakukan, Saravanan berkata, pihaknya mempunyai bukti kukuh mengenai kilang terbabit.

“Walapun (ada) bukti cukup kukuh bahawa tempat tidak sesuai untuk pekerja, sebelum kita sampai, pekerja 'dilarikan’ ke tempat lain. Cheating is not a solution (penipuan bukanlah jalan penyelesaian) dan majikan jangan ambil kesempatan cari laluan mudah," tegas Saravanan. -Bernama