Kemelut politik Perak: DAP reda 'tewas' selepas bantu UMNO

Howard Lee Chuan How
Howard Lee Chuan How
A
A
A

IPOH - DAP reda dan tidak kisah dianggap tewas dalam menghadapi polemik politik di Perak selepas membantu UMNO menggugurkan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu daripada jawatan menteri besar.

Ketua Pemuda DAP, Howard Lee Chuan How berkata, meskipun pada luarannya parti itu bersama Pakatan Harapan (PH) kelihatan rugi dan tewas, namun keadaan sebenarnya telah memberi manfaat besar terhadap kepentingan rakyat.

"Ramai meluahkan kemarahan dan kekecewaan mereka terhadap PH Perak kerana menyangka diperkudakan UMNO sehingga mencapai matlamat mereka merampas kerusi menteri besar.

"Kami mengakui bahawa dari luar, PH nampaknya rugi dan tertewas, tetapi kami reda kerana rakyatlah yang menang khususnya majoriti mereka yang diami di kawasan DUN pembangkang," katanya dalam satu kenyataan yang dikongsi di Facebook.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji itu berkata, kejayaan PH untuk rakyat Perak ialah apabila dapat melakukan reformasi institusi dalam beberapa perkara utama antaranya peruntukan adil tanpa mengira penyokong kerajaan ataupun pembangkang bagi program rakyat di kawasan DUN masing-masing.

ARTIKEL BERKAITAN:'Kejatuhan PN Perak satu kemenangan'

UMNO sedia kerjasama PH bentuk kerajaan di Perak

Kami sedia bekerjasama dengan UMNO: PH Perak

Artikel Berkaitan:

Katanya, kesemua 59 ADUN Perak daripada semua parti juga akan menduduki jawatankuasa tindakan daerah yang merupakan jawatankuasa paling berimpak tinggi dan berkuasa dalam perihal penyelesaian permasalahan setempat serta jawatankuasa 'focus group' pembasmian kemiskinan daerah dan jawatankuasa pengurusan bencana daerah.

"Kerajaan negeri juga telah bersetuju untuk meminda perintah tetap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri dilantik daripada kalangan ADUN pembangkang juga mengiktiraf secara rasmi jawatan ketua pembangkang.

"Dengan penggemblengan dan penglibatan yang lebih luas oleh semua ADUN, besar kebarangkalian akan tergubal dan rungkainya dasar-dasar yang lebih progresif dan menguntungkan rakyat Perak. Ia juga akan membuka ruang untuk perubahan dan evolusi kepada badan politik negeri secara amnya," katanya.

Beliau mengakui, banyak pihak tertanya-tanya berkenaan nasib PH Perak, namun pihaknya meminta semua penyokong agar tidak bimbang kerana semua tindakan dilaksanakan atas dasar prinsip kejujuran dan amanah.

“Kami rela kalah buat seketika asalkan rakyat yang untung. Kami reda kerana ia adalah kewajipan kami," katanya.