Ahmad nafi melobi jawatan

Ahamd (kanan) dan Ghazale (kiri) menunjukkan salinan artikel akhbar berkenaan dan laporan polis yang dibuat ketika sidang akhbar di kediamannya di Umbai pada Sabtu.
Ahamd (kanan) dan Ghazale (kiri) menunjukkan salinan artikel akhbar berkenaan dan laporan polis yang dibuat ketika sidang akhbar di kediamannya di Umbai pada Sabtu.
A
A
A

JASIN - Ahli Parlimen Jasin, Datuk Seri Ahmad Hamzah menafikan beliau melobi bagi mempertahankan jawatan yang sedang disandang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berkata, laporan yang disiarkan sebuah akhbar tempatan pada Jumaat telah menimbulkan pelbagai andaian dan persepsi negatif terhadap beliau serta keluarga.

Menurutnya, sewajarnya dalam pandemik Covid-19 pihak berkenaan lebih peka dan memainkan isu-isu yang bersifat pembangunan dan pemulihan ekonomi daripada menyiarkan isu-isu yang boleh menguriskan hati dan memecahbelahkan parti lebih-lebih lagi PRU15 akan diumumkan pada bila-bila masa.

"Merujuk kepada artikel tersebut, kenyataan individu itu yang mendakwa saya berjumpa beliau bagi mendapatkan sokongan penuh untuk menjadi calon ahli Parlimen adalah tidak benar.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya tidak berjumpa dengan individu yang dimaksudkan dalam artikel itu dan tindakan berkenaan juga jelas telah melanggar etika parti," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di kediamannya di Umbai di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Ghazale Muhamad.

Ahmad yang juga enam penggal sebagai wakil rakyat termasuk tiga penggal sebagai ADUN berkata, beliau yang memegang jawatan ketua bahagian tidak mempunyai kuasa untuk menentukan calon-calon PRU dan segala keputusan itu ditentukan sendiri oleh Badan Perhubungan UMNO Negeri dan pucuk pimpinan parti.

Malah menurutnya, beliau pernah meluahkan hasrat untuk berundur kepada Pengerusi UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memandangkan landskap politik yang berubah dan atas faktor kesihatan.

Artikel Berkaitan:

"Saya yakin PRU akan datang adalah masa terbaik untuk berehat dari dunia politik dan memberi peluang kepada muka baharu untuk bertanding," katanya.

Semalam, akhbar berkenaan menyiarkan laporan berita bertajuk 'Parlimen Jasin bertukar calon?'

Dalam artikel tersebut, Ahmad turut didakwa berjumpa dengan individu lain dan meminta namanya disenaraikan semula untuk bertanding bagi mempertahankan kerusi berkenaan.

Dalam pada itu, Ahmad turut menggesa satu permohonan maaf secara terbuka daripada pihak pengarang serta penulis artikel berkenaan dalam masa seminggu sebelum mengambil tindakan undang-undang.