PH diminta tunai janji kepada warga Felda

Aznan Tamin
Aznan Tamin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemuda Umno Pengerang meminta kerajaan PH menunaikan janji berkaitan warga Felda seperti yang terkandung dalam Buku Harapan.

Ketuanya, Aznan Tamin berkata, PH berjanji akan menghapuskan hutang peneroka Felda jika berjaya menjadi kerajaan, tetapi sehingga kini masih tidak kelihatan usaha itu akan menjadi kenyataan dan realiti.

“Sebaliknya peneroka terus terhimpit dengan hutang-hutang mereka.

“Hal ini bertambah rumit apabila harga komoditi kelapa sawit yang turun dengan mendadak menyebabkan peneroka bertambah sengsara dan susah,” katanya di sini hari ini.

Aznan berkata, PH menerusi Buku Harapan berjanji nembela nasib dan mengurangkan bebanan hutang, memodenkan dan menaiktaraf kawasan selain memberi peluang pendidikan terbaik untuk anak-anak peneroka Felda.

Katanya, bagaimanapun keghairahan ingin menang semata-mata, membuatkan PH buta mata setelah menang merampas Putrajaya dari BN.

“Berapa ramaikah anak Felda yang telah dilantik dalam jawatan sesuai di semua peringkat Felda dan anak syarikat? Berapa ramai anak Felda yang telah diberikan kuota untuk menyewa dan membeli rumah mampu milik oleh kerajaan negeri atau pusat?

“Berapa kuota atau jumlah kemasukan 2019 ke sekolah berasrama penuh yang terdiri dari anak Felda? Apakah peluang biasiswa dan peruntukan yang diberikan oleh kerajaan kepada anak-anak Felda? Semua perkara ini antara yang perlu dijawab oleh kerajaan PH,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, hakikatnya, peneroka Felda semakin tertekan di bawah pentadbiran yang asyik menipu berterusan.

Ujarnya, PH hanya boleh bercakap dan berjanji sahaja, namun tidak boleh melaksanakannya.

“Apabila mereka dah pegang kerajaan dan berada sendiri di dalam Felda, baru mereka tahu perkara yang sebenarnya. Dulunya peneroka dianggap dizalimi, dianaiyai, ditipu dan macam-macam lagi.

“Hari ini cuba tanya rakan dan saudara mara kita di Felda, adakah keadaan mereka lebih baik berbanding pentadbiran kerajaan sebelum ini?,” katanya.

Aznan berkata, kini peneroka merasa kesannya malah generasi baharu mula merasai apabila ketiadaan pelbagai insentif termasuklah dengan penurunan harga sawit terumbang ambing.

“Kerajaan di bawah pentadbiran PH nampaknya lepas tangan dan menutup sebelah mata sahaja berkenaan perkara ini,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan kelibat Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Datuk Mazlan Aliman yang sudah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

“Beliau yang banyak memberi komentar dan lantang mengkritik pentadbiran Felda tidak pula dilantik sebagai Pengerusi Felda sebaliknya ke jawatan lain. Aneh sungguh.

“Tapi kemungkinan PH tahu bahawa Mazlan Aliman juga hanya jaguh untuk bercakap sahaja tetapi tidak melaksanakan. Lihatlah, apakah pembaharuan yang telah dibawa dalam LPP?,” katanya.

Aznan berkata, peneroka dilihat sudah serik ditipu oleh Kerajaan PH.

“Adalah bagus selepas ini para wartawan dan media bertanyakan kepada kerajaan PH, bagaimana janji-janji kepada peneroka ini? Sudah tunai? Masih dalam kajian? Atau hanya janji bukan kitab suci?

“Pemuda Umno meminta dan berharap bahawa PH menunaikan segala janji-janji yang telah diikrarkan dalam Buku Harapan,”