Dua lelaki ditahan, dadah RM25.87 juta dirampas

Sahabudin (tiga dari kiri) menunjukkan kesemua dadah yang dirampas di Nibong Tebal pada Isnin hingga Rabu lalu.
Sahabudin (tiga dari kiri) menunjukkan kesemua dadah yang dirampas di Nibong Tebal pada Isnin hingga Rabu lalu.
A
A
A

GEORGETOWN - Dua ahli sindiket pengedaran dadah ditahan bersama 573 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah bernilai RM25.87 juta di Nibong Tebal pada Isnin hingga Rabu lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Sahabudin Abd Manan berkata, kedua-dua lelaki warga tempatan itu ditahan dalam tiga serbuan oleh anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Seberang Perai Selatan dan Balai Polis Nibong Tebal di antara jam 7 petang hingga 11 malam.

Menurutnya, dalang sindiket berusia 37 tahun itu ditahan dalam serbuan pertama ketika berada dalam sebuah kereta jenis Peugeot di Taman Perindustrian Nibong Tebal.

"Ketika pemeriksaan ke atas kenderaan yang dinaiki suspek, polis menemui 100 bungkusan syabu bernilai RM4.68 juta yang diisi dalam bungkusan teh herba Cina.

"Hasil soal siasat ke atas suspek membawa kepada serbuan kedua iaitu di sebuah premis kedai yang dijadikan stor penyimpanan bekalan pelbagai jenis dadah di kawasan sama di mana suspek ditahan," katanya pada sidang akhbar di IPK Pulau Pinang di sini pada Sabtu.

Sahabudin berkata, di stor berkenaan, polis merampas pelbagai jenis dadah antaranya syabu, serbuk ekstasi, pil ekstasi, heroin base dan ketamin bernilai RM21.19 juta menjadikan jumlah keseluruhan rampasan dadah bernilai RM25.87 juta.

"Tiada tangkapan dilakukan di premis berkenaan. Serbuan seterusnya adalah di kawasan pekan Nibong Tebal dan polis menahan suspek kedua. Tiada barang yang menyalahi undang-undang ditemui pada lelaki berusia 43 tahun itu.

"Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas adalah 573kg yang terdiri daripada 400.8 kg syabu, 78.9 kg serbuk ekstasi, 91.3 kg pil ekstasi, 1.49 kg heroin base dan 306 gram ketamin," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sindiket yang beroperasi sejak pertengahan tahun ini dipercayai memperoleh bekalan dadah dari Thailand sebelum dihantar ke Kuala Lumpur dan Selangor untuk dijual kepada pembeli.

"Selain dadah, kita turut menyita wang tunai berjumlah RM11,200, wang dalam akaun berjumlah RM203,171, sebuah kenderaan (RM4,500) dan barang kemas (RM15,360) yang dianggarkan bernilai RM234,231.

"Jumlah nilai sitaan dan dadah keseluruhan adalah RM26.1 juta iaitu rampasan terbesar bagi tahun ini. Kesemua dadah ini mampu dibekalkan kepada 2.6 juta penagih jika ia terlepas di pasaran," katanya.

Sahabudin berkata, suspek pertama yang sudah berkahwin dan mempunyai dua orang anak itu tidak mempunyai pekerjaan.

"Dia juga mempunyai tiga rekod lampau melibatkan kesalahan dadah. Ujian saringan air kencingnya juga positif jenis methamphetamine, benzo dan amphetamine.

"Suspek kedua merupakan peniaga barangan dalam talian, juga sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak. Bagaimanapun, ujian saringan air kencingnya negatif selain dia tidak mempunyai rekod lampau," katanya.

Katanya, suspek pertama direman dari 22 hingga 28 Disember, manakala suspek kedua direman dari 23 hingga 29 Disember.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.