Kepelbagaian kekuatan membina negara

A
A
A

LIMA hari lagi kita bakal melangkah masuk ke tahun baharu dan meninggalkan tahun 2020 yang penuh mencabar.

Sepanjang tahun 2020, ketidak tentuan politik dan pandemik Covid-19 mengambil sebahagian besar tumpuan kita di sepanjang perjalanan. Pelbagai kisah suka duka turut mewarnai perjalanan kehidupan kita sepanjang tempoh yang sukar dan mencabar itu.

Di sebalik kesemua itu, syukur kita masih mampu untuk menghadapinya tenang dan tabah. Semua cabaran, dugaan dan ujian itu bukan sahaja menguatkan jati diri dan kecekalan hidup masyarakat sebagai individu, tetapi juga sebagai sebuah negara bangsa.

Aspek inilah barangkali yang perlu dilihat sebagai hikmah dalam musibah serta positif untuk jangka masa panjang. Jelas, di sebalik kepelbagaian yang ada, kita masih kukuh bersatu dan sama berkorban demi kebaikan bersama.

Kesukaran yang dihadapi sepanjang tahun ini jelas tidak mampu memuramkan keharmonian serta kerukunan hubungan kaum negara.

Walaupun tiada sambutan kepelbagaian perayaan yang selalunya akan diraikan oleh semua kaum dengan meriah disebabkan adanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita tetap meraikan kepelbagaian itu dengan cara sederhana tetapi bermakna.

Jelas apapun cabaran yang melanda, matlamat dan arah tuju kita sebagai sebuah bangsa yang bersatu dan harmoni harus sentiasa dipertahankan.

Perpaduan dan keharmonian kaum yang diilhamkan oleh pemimpin negara bertujuan supaya kita mampu untuk terus hidup aman, bersatu, dan toleran di sebalik kerencaman dan kepelbagaian kaum, agama, bahasa dan budaya yang melatari kehidupan masyarakatnya.

Artikel Berkaitan:

Cabaran kepada tuntutan ini seharusnya tidak boleh diperlekehkan sebaliknya ia perlu sentiasa diperdebatkan lagi dalam konteks kejayaan dan kekurangan perpaduan serta integrasi kaum sedia ada, walaupun dalam tempoh sesukar begini.

Ia perlu sentiasa dibahas oleh semua pihak dengan penuh kebijaksanaan dan keterbukaan kepelbagaian kita ini adalah aset, bukannya liabiliti. Justeru itu ia harus sentiasa diangkat agar menjadi sebahagian daripada komitmen dan intipati perancangan dasar ekonomi dan sosial negara oleh kerajaan, sepertimana yang dilihamkan.

Hal ini akan dapat memastikan peralihan zaman serta cabaran semasa tidak akan mampu menghakis nilai dan inspirasi asal bagi mencipta sebuah bangsa yang maju dan bersatu.

Budaya dan amalan bertolak ansur, bantu membantu serta hormat-menghormati dalam kalangan masyarakat yang rencam seperti Malaysia harus sentiasa diperkukuh dan dipertingkatkan, terutamanya ketika tempoh yang mencabar.

Benar cabaran dan kesusahan yang dihadapi oleh setiap individu ketika ini adalah berbeza-beza, tetapi perpaduan dan keharmonian kaum adalah tonggak kemajuan dan kestabilan negara pada setiap masa. Sebarang perbuatan yang menggugat kepada perkara itu akan membinasakan negara dan mengancam kehidupan seharian kesemua pihak.

Perubahan yang dialami ekoran ketidak tentuan politik dan pandemik Covid-19 bukan alasan untuk merenggangkan perpaduan kita sebagai sebuah masyarakat. Sebaliknya inilah barangkali masa yang paling sesuai untuk kita memperkukuh dan memuliharanya.

Kisah kesusahan masyarakat yang mendapat bantuan dan pertolongan tanpa mengira kaum patut sentiasa diangkat dan dipertontonkan agar menjadi contoh tauladan dimasa hadapan. Hal ini membantu penghayatan tentang erti keharmonian dan kestabilan yang sedang dikecapi ketika ini adalah hasil daripada komitmen semua pihak.

Keharmonian dan kestabilan negara yang wujud selama ini bukan sahaja perlu dipertahankan, bahkan ia perlu dijana dan digemblengkan dengan lebih luas sehingga membawa kepada proses integrasi yang sebenar.

Perkara itulah yang akan membawa kepada kesempurnaan yang sebenar dalam konteks pembinaan bangsa. Walaupun sesukar mana cabaran dan keadaan yang dihadapi, tiada ruang kompromi terhadap sebarang ancaman kepada perpaduan kaum kita sebagai tonggak kestabilan dan keharmonian negara.

Asasnya adalah sekiranya seseorang itu terikat secara emosional kepada mana-mana suku, agama atau politik sehingga kebenaran dan keadilan menjadi pertimbangan keduanya, maka sia-sialah segala usaha mendidik dan memupuk perpaduan dalam membina sesebuah bangsa.

Dan sekiranya individu itu tidak mampu membuat alasan di luar emosi dan sentimen mereka, maka individu itu adalah liabiliti kepada masyarakat dan negaranya.* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)