Lari masuk balai polis selamatkan diri selepas samun

Gara-gara dikejar orang awam selepas menyamun mangsa menggunakan parang panjang, seorang lelaki terpaksa memecut motosikal yang disamunnya ke Balai Polis Tawau, di sini untuk menyelamatkan diri. (Gambar hiasan) - Foto 123rf
Gara-gara dikejar orang awam selepas menyamun mangsa menggunakan parang panjang, seorang lelaki terpaksa memecut motosikal yang disamunnya ke Balai Polis Tawau, di sini untuk menyelamatkan diri. (Gambar hiasan) - Foto 123rf
A
A
A

TAWAU - Gara-gara dikejar orang awam selepas menyamun mangsa menggunakan parang panjang, seorang lelaki terpaksa memecut motosikal yang disamunnya ke Balai Polis Tawau, di sini untuk menyelamatkan diri.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, suspek berusia 27 tahun itu ditahan polis pada jam 8.10 pagi iaitu 20 minit selepas menyamun motosikal jenis Modenas GT milik seorang lelaki di Jalan Tawau Lama.

"Mangsa meminta bantuan orang awam yang berada di kawasan kejadian untuk mengejar suspek, namun suspek yang menunggang motosikal samun itu melarikan diri sehingga ke dalam kawasan Balai Polis Tawau dan ditahan bersama senjata tajam berukuran 68 sentimeter," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Sebelum itu, Peter berkata, suspek turut menyamun menggunakan parang sama terhadap seorang lelaki yang memandu kenderaan jenis Nissan Frontier di Jalan Tanjung Batu Darat pada jam 7 pagi.

"Suspek kemudian melarikan kenderaan mangsa menuju ke Kawasan Jalan Tawau Lama, namun tiba di Bulatan Jalan Tawau Lama, kenderaan yang disamunnya itu kehabisan minyak dan suspek meninggalkan kenderaan berkenaan di tepi jalan," katanya.

Peter berkata, permohonan reman suspek akan dikemukakan pada Sabtu mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah di Mahkamah Majistret Tawau untuk siasatan lanjut.

Siasatan awal mendapati, modus operandi yang digunakan suspek bagi kedua-dua kes adalah sama iaitu suspek menggunakan parang panjang dan menahan motosikal serta kereta mangsa. Suspek kemudian mengarahkan mangsa turun dari kenderaan masing-masing sebelum dilarikan," katanya lagi.

Katanya, berdasarkan semakan rekod lampau suspek, dia didapati pernah ditahan empat kali sejak 2014 sehingga tahun lalu melibatkan kesalahan penyalahgunaan dadah. -Bernama

Artikel Berkaitan: