JPBN Sarawak jalankan pengesanan kontak tiga warga asing positif Covid-19

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Pengesanan kontak kini giat dijalankan melibatkan tiga kes terbaru positif Covid-19 di Sarawak, yang mana salah satu daripada kes berkenaan melibatkan seorang lelaki pendatang tanpa izin.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dalam kenyataannya pada Jumaat berkata, pendatang asing itu yang merupakan seorang lelaki dari Kalimantan, Indonesia yang ditahan pihak berkuasa ketika masuk ke Sarawak melalui jalan tikus di sempadan Malaysia-Indonesia di daerah Lundu dekat sini, pada 23 Disember lalu.

“(Lelaki dalam) kes ini telah menjalani saringan Covid-19 pada 24 Disember dan keputusan ujian mendapatinya positif, (walaupun) tidak mengalami sebarang tanda dan gejala, dan telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut,” katanya.

Menurut jawatankuasa itu, satu lagi kes terbaru melibatkan seorang lelaki warganegara Thailand yang tiba dari Kuala Lumpur, yang diklasifikasikan sebagai kawasan berisiko tinggi jangkitan Covid-19, ke Miri pada 21 Disember yang didapati positif penyakit itu dua hari kemudian dan kini mendapat rawatan lanjut di Hospital Miri.

Kes ketiga pula melibatkan seorang lelaki warganegara Bangladesh, yang memasuki Sarawak dari Kuala Lumpur melalui Lapangan Terbang Kuching pada Khamis dan didapati positif Covid-19 dalam ujian saringan penyakit itu, yang dijalankan pada hari yang sama sebelum dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut.

Ketiga-tiga kes ini telah menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Sarawak meningkat kepada 1,099 kes. - Bernama

Artikel Berkaitan: