JPNK serbu kilang, sita arang bernilai lebih RM500,000

JPNK menyita sebuah kilang arang yang beroperasi tanpa lesen di kawasan perindustrian Gua Musang. (Gambar hiasan) - Foto 123RF
JPNK menyita sebuah kilang arang yang beroperasi tanpa lesen di kawasan perindustrian Gua Musang. (Gambar hiasan) - Foto 123RF
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) menyita sebuah kilang penghasilan arang yang beroperasi tanpa lesen dalam satu serbuan di kawasan perindustrian Gua Musang pada Rabu lepas.

Pengarah Perhutanan Kelantan, Abdul Khalim Abu Samah berkata, serbuan dilakukan oleh Unit Perindustrian dan Pengusahasilan bersama Pejabat Hutan Jajahan Kelantan Selatan (PHJKS) selepas menerima maklumat.

Menurutnya, dalam serbuan pada jam 11.30 pagi itu, pihaknya menyita sebanyak 77 tanur atau dapur arang, jentera dan lebih 130 tan arang bermutu tinggi yang nilainya dianggarkan melebihi RM500,000.

Beliau berkata, ketika serbuan, tiada tangkapan dilakukan kerana pihak pengurusan kilang memberikan kerjasama, namun nama pengurus kilang telah dimasukkan dalam laporan polis yang dibuat oleh pihak jabatan untuk siasatan lanjut.

"Berdasarkan maklumat awal, kilang ini sudah beroperasi sejak lapan bulan lepas dan arang yang dihasilkan adalah untuk pasaran luar negara seperti Australia, Kuwait dan Turki untuk tujuan pemanasan pada musim sejuk, selain untuk pasaran tempatan juga,” katanya.

Katanya, kilang itu dikesan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 3(1) Enakmen Industri Berasaskan Kayu (EIBK) iaitu tiada seseorang dibenarkan menempat, mendiri, membina, mengendali, menyelenggara tanpa kebenaran (lesen) yang dikeluarkan kepadanya oleh pihak berkuasa negeri dan ditandatangani oleh Pengarah JPNK.

Mengulas lanjut, Abdul Khalim berkata, arang yang dihasilkan itu adalah arang bricket (arang kiub) yang susah dihidupkan tetapi mengambil masa yang panjang untuk dipadamkan apabila sudah dapat dinyalakan. - Bernama

Artikel Berkaitan: