X

Kindly register in order to view this article
!

Kes Covid-19 melebihi 100,000, kerajaan perlu beri penjelasan

Hantaran di Facebook Najib Razak pada Jumaat.
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu tampil menjelaskan situasi sebenar kepada rakyat selepas kes penularan Covid-19 yang telah melepasi angka 100,000 pada Khamis.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tindakan kerajaan yang mengambil sikap berdiam diri ketika negara berhadapan dengan perkembangan terbaharu penularan wabak tersebut boleh mengundang kebimbangan dan kemarahan rakyat.

Jelasnya, beliau tidak menafikan angka terbaharu kes Covid-19 itu bakal memberikan impak psikologi yang besar kepada rakyat Malaysia terhadap keselamatan dan kesihatan mereka.

“Saya juga perhatikan ramai yang kecewa bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) seolah-olah membisu apabila angka psikologi ini (lebih 100,000) dicecah semalam (Khamis).

“Sebab itu, saya percaya kerajaan PN perlu bersemuka dengan rakyat melalui satu perutusan khas untuk jelaskan situasi sebenar Covid-19 serta apa langkah tambahan yang sedang diambil untuk mengekang penularan Covid-19.

“Ada keperluan untuk kerajaan PN tenteramkan rakyat yang bimbang serta marah supaya rakyat terus rasa selamat dan dijaga kerajaan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Jumaat.

Pada Khamis, kes positif Covid-19 di Malaysia dilaporkan telah melepasi angka 100,000 selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 1,581 kes baharu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan tersebut telah menjadikan jumlah keseluruhan kes Covid-19 kepada sebanyak 100,318 kes.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!