Kes samun: Polis tembak empat lelaki

Sumber Facebook
Sumber Facebook
A
A
A

SUNGAI BULOH - [DIKEMAS KINI] Empat penjenayah mati ditembak selepas dipercayai menyamun sebuah rumah di Taman Pelangi Rawang pada Jumaat.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes samun di kawasan perumahan tersebut pada jam 12 tengah hari.

"Sejam kemudian, sepasukan anggota polis telah mengesan kenderaan yang dinaiki suspek, namun mereka bertindak melarikan diri setelah menyedari kehadiran polis," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Jalan Kuala Selangor, di sini pada Jumaat.

Arjunaidi berkata, polis telah mengejar kereta jenis Perodua Axia yang dinaiki suspek, kenderaan itu telah melanggar dan menggilis seorang penghantar makanan.

"Salah seorang suspek cuba menyerang anggota polis dengan parang ketika pihak polis hendak memberkas mereka.

"Kita terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke atas kereta dinaiki suspek demi mempertahankan diri anggota polis dan orang awam," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut mendapati kumpulan penjenayah itu disyaki terlibat dalam 50 kes samun sejak awal tahun ini.

"Kumpulan ini aktif melakukan jenayah di sekitar Selangor, dua daripada suspek turut dikehendaki polis," katanya.

Artikel Berkaitan:

Arjunaidi berkata, beliau dimaklumkan penghantar makanan itu merupakan ibu tunggal berusia 44 tahun telah dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut.

"Bagaimanapun keadaannya kini masih belum diketahui," katanya.