Penduduk lega Perdana Menteri percepat tebatan banjir di Kelantan

Penduduk meredah banjir termenung sedalam 0.4 meter sejauh 200 meter untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid As-Solihin di Kampung Bendang Pak Yong.
Penduduk meredah banjir termenung sedalam 0.4 meter sejauh 200 meter untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid As-Solihin di Kampung Bendang Pak Yong.
A
A
A

TUMPAT - Kira-kira 15,000 penduduk di 10 kampung sekitar Pengkalan Kubor menarik nafas lega dengan persetujuan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mempercepatkan projek tebatan banjir.

Berita baik tersebut dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob pada Selasa sempena lawatan Perdana Menteri ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Ipoh, Rantau Panjang.

Masalah banjir termenung dihadapi kampung-kampung terbabit berlaku sejak puluhan tahun lalu berikutan tiada tebatan banjir.

Tinjauan Sinar Harian pada Jumaat mendapati beberapa kampung masih digenangi air iaitu Bendang Pak Yong, Palas Merah dan Kubang Sawa.

Meskipun banjir termenung di kawasan berkenaan semakin surut namun kebiasaannya akan mengambil masa lama, lebih dua minggu untuk surut sepenuhnya.

Tinjauan turut mendapati, terdapat penduduk yang meredah air sedalam 0.4 meter dengan berjalan dan juga menggunakan motosikal selain pacuan empat roda untuk menunaikan solat Jumaat di masjid dekat Kampung Bendang Pak Yong

Selain Masjid As-Solihin di Bendang Pak Yong, Masjid Mukim Kubang Sawa juga terjejas akibat banjir.

Imam Tua Masjid As-Solihin, Mukim Bendang Pak Yong, Anuar Daud, 55, berkata, pengumuman kesediaan Perdana Menteri mempercepatkan projek tebatan banjir fasa dua membabitkan kos RM1.5 bilion amat dihargai.

Artikel Berkaitan:

Anuar daud
Anuar daud

“Setiap tahun kawasan ini ditenggelami banjir sedalam hampir satu meter dan yang pastinya dalam tempoh setahun akan ada solat Jumaat tidak dapat dilakukan kerana tidak cukup jemaah disebabkan laluan ke masjid sangat dalam.

“Jadi bila dengar menteri besar maklumkan persetujuan Perdana Menteri, saya sangat lega dan bersyukur,” katanya ketika ditemui di Masjid As-Solihin.

Sementara itu seorang penduduk Kampung Kajang Sebidang, Shahruddin Mohd Nor, 43, berkata, dengan mempercepatkan projek tebatan banjir sekurang-kurangnya masyarakat di sini tidak akan berdepan masalah untuk ke tempat kerja setiap kali musim tengkujuh.

Shahruddin
Shahruddin

“Bila jalan dah tenggelam dan tidak dapat dilalui, penduduk tidak boleh keluar bekerja. Pendapatan terjejas. Bila Perdana Menteri dah percepatkan, kami sangat berterima kasih dan tak perlu bimbang lagi,” katanya.

Projek tebatan banjir fasa satu iaitu dari Tumpat ke Rantau Panjang sudah dijalankan, manakala fasa dua dari Rantau Panjang ke sempadan Jeli pula dijangka dilaksanakan 2023.