Khalid Ibrahim taruhan BN, bakal berdepan situasi sukar

Khalid Ibrahim
A
A

MENJELANG PRK Dun Semenyih 2 Mac depan, pelbagai spekulasi dan andaian timbul berhubung pemilihan calon yang akan bertanding di kerusi tersebut.

Terbaru, terdapat cakap - cakap mengatakan bahawa bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim bakal dipilih bagi mewakili BN untuk bertanding di kerusi berkenaan pada kali ini.

Spekulasi itu dikaitkan dengan kesungguhan BN mengetengahkan calon terbaik dan berpengaruh dalam usaha mereka mengekalkan momentum kemenangan selepas cemerlang pada PRK Cameron Highlands, 26 Januari lalu.

Khabar angin ‘comeback’ Khalid dalam arena politik itu juga dikatakan sebahagian daripada strategi kerjasama Umno dan Pas merampas pengaruh PH di kerusi Dun Semenyih di saat parti kerajaan itu berdepan pelbagai kritikan rakyat semasa.

Sama ada logik atau sebaliknya, hubungan baik antara Umno-Pas sejak kebelakangan ini dan ditambah pula pendekatan Khalid yang sememangnya dilihat lebih ‘mesra’ dengan Pas sejak meninggalkan kepimpinan PKR, spekulasi seumpama ini pastinya diikuti rapat pimpinan PH dalam merencana strategi dan memilih calon terbaik mewakili mereka.

Dr Jeniri Amir
Dr Jeniri Amir

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata, sekiranya benar Khalid menjadi calon BN, ia adalah satu pilihan yang tepat berikutan beliau pernah menjawat jawatan sebagai menteri besar Selangor di samping mempunyai hubungan baik dengan Pas.

“Populariti, ketokohan dan pengaruh beliau sememangnya tidak dapat diragui lagi. Saya fikir dengan strategi kempen yang efektif ia pastinya akan memberi kesan besar buat BN khususnya dalam aspek sokongan pengundi,” katanya kepada Sinar Harian.

Jeniri berkata, formula BN menggunakan Khalid sebagai calon juga menjadi satu ancaman besar buat PH dalam menghadapi saingan PRK Dun Semenyih kali ini.

Beliau berkata, dengan kegagalan PH untuk melaksanakan janji manifesto dan kepimpinan yang lemah di peringkat kementerian pastinya bakal memberi peluang buat BN sekiranya mereka mencalonkan Khalid di kerusi tersebut.

“Jadi jika BN-Pas dapat menggunakan kesempatan untuk main isu persekutuan dan tempatan yang relevan, di samping menonjolkan keupayaan serta prestasi Khalid pastinya ia bakal menjadi satu mimpi ngeri buat PH,” katanya.

Sementara itu, penganalisis dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani mengakui Khalid adalah individu yang mempunyai nama besar dan tokoh politik di Selangor.

“Pada jangkaan saya, kemungkinan beliau akan mendapat sokongan sekiranya dipilih sebagai calon pada kali ini berdasarkan kepada pencapaian beliau mentadbir Selangor,” katanya kepada Sinar Harian.

Namun begitu, Azizuddin berkata, dengan perkembangan politik tanah air pada masa kini di mana Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor ditadbir oleh PH, beliau merasakan bahawa Khalid bakal berdepan laluan yang sukar untuk merampas kerusi berkenaan.

Beliau berkata, walaupun Khalid mempunyai nama dalam arena politik namun isu calon tempatan pastinya bakal menjadi penyumbang kepada PH untuk dijadikan modal dalam kempen mereka.

“Walaupun beliau hebat, namun beliau pastinya akan berdepan cabaran hebat sekiranya dipilih menjadi calon BN.

“Dalam masa sama, PH pun perlu memikirkan calon yang benar-benar berkelayakan dan terdiri daripada anak tempatan untuk bertanding di sana,” katanya.


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.