Disangka babi, lelaki cedera ditembak majikan

Seorang lelaki Indonesia cedera selepas terkena tembakan majikan yang menyangkanya seekor babi liar. (Gambar hiasan) - Foto 123RF
Seorang lelaki Indonesia cedera selepas terkena tembakan majikan yang menyangkanya seekor babi liar. (Gambar hiasan) - Foto 123RF
A
A
A

REMBAU - Seorang lelaki warga Indonesia cedera pada paha dan kaki selepas terkena tembakan majikan yang menyangkanya seekor babi liar dalam kejadian pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam berkata, dalam kejadian jam 6 petang itu, majikan lelaki itu yang berusia 70-an telah tertembak mangsa berusia 30-an ketika berada di kebunnya di Kota di sini.

"Dalam kejadian itu, pemilik kebun tersebut mendakwa ternampak kelibat seperti seekor babi liar mahu memakan buah nangka yang gugur dari pokok.

"Dia kemudian telah melepaskan satu tembakan menggunakan selaras senapang patah miliknya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, lelaki tersebut menyedari yang tembakannya itu bukan terkena seekor babi selepas terdengar suara menjerit yang juga pekerjanya.

Katanya, mangsa yang cedera pada paha dan kaki kiri dihantar majikannya ke Hospital Tampin untuk rawatan.

"Mangsa berada dalam keadaan stabil dan akan menjalani pembedahan untuk mengeluarkan serpihan peluru di bahagian paha dan kakinya.

"Polis yang menjalankan siasatan lanjut mendapati majikan tersebut mempunyai lesen pemilikan senjata api dan telah ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Anuar Bakri berkata, polis telah merampas satu laras senapang patah jenis 'Bennely Armi System 12 Bore S/B', sebuah beg sandang warna hitam dan sebuah buku lesen memiliki senjata dan peluru serta 17 butir peluru penabur pelbagai jenama.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960, sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk tampil memberikan maklumat kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Ramlah Alidin di talian 011-10944096 atau Pusat kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Rembau ditalian 06-6851999," katanya.