Mutasi baharu Covid-19 belum ditemui di Malaysia, kerajaan terus berwaspada

Dr Noor Hisham Abdullah
Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan mutasi baharu Covid-19 atau dikenali sebagai VUI-202012/01 yang menular di United Kingdom (UK) masih belum ditemui di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM telah mengambil maklum tentang kemunculan varian baharu tersebut di United Kingdom.

Menurutnya, kerajaan dan KKM akan terus berwaspada dengan pelbagai langkah yang dilaksanakan untuk mencegah berlakunya limpahan varian baharu ke Malaysia.

Katanya, varian baharu tersebut didapati menunjukkan peningkatan sebanyak 70 peratus kadar penghantaran dan peningkatan kes tiga kali ganda dalam tempoh pemberitahuan 14 hari.

“Varian baharu mempunyai mutasi baharu dalam protein lonjakan, termasuk perubahan asid amino dan penghapusan tiga asid amino.

“Pada masa ini, varian ini masih tidak dijumpai di Malaysia. Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) akan terus melakukan penjujukan keseluruhan genom untuk memantau kehadiran varian ini dan juga varian lain,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Terdahulu pada Khamis, UK mengesahkan mereka mengesan satu lagi varian baharu Covid-19 yang berpotensi lebih berjangkit menerusi kes yang ada kaitan dengan virus bermutasi di Afrika Selatan selepas negara itu mengumumkan penemuan jenis B117 yang menular dengan cepat pada minggu lalu.

Pada masa sama, media turut melaporkan pada Khamis, Singapura melaporkan satu kes yang disahkan dengan strain virus UK membabitkan seorang remaja perempuan berumur 17 tahun yang menuntut di UK.

Artikel Berkaitan:

Kementerian Kesihatan republik itu bagaimanapun memaklumkan tiada sebarang bukti buat masa ini yang menunjukkan bahawa strain virus berkenaan sedang menular dalam komuniti.

Mengulas lanjut mengenai situasi semasa mutasi Covid-19 di Malaysia, Dr Noor Hisham memaklumkan, sehingga kini IMR, Institut Kesihatan Nasional (NIH) dan KKM telah melakukan analisis terhadap lebih daripada 120 urutan genom penuh SARS-CoV-2 daripada sampel klinikal merangkumi gelombang pertama hingga gelombang ketiga kes Covid-19 di Malaysia baru-baru ini.

Jelasnya, analisis tersebut memberikan fokus kepada pemantauan mengikut masa sebenar terhadap semua mutasi gen terutama dalam protein lonjakan yang memainkan peranan penting dalam proses pengecaman reseptor dan proses membran sel.

“Selain daripada mutasi lonjakan D614G yang paling terkenal, kami kini melihat bentuk varian lain, A701V, yang pertama kali dikesan di gugus Benteng Lahad Datu (Benteng LD) dan kemudian merebak ke hampir semua kelompok termasuk di Semenanjung Malaysia dan Sabah (pos Gugusan Benteng LD),” katanya.

Menurutnya, kelaziman A701V yang dicatatkan dalam kes pada gelombang ketiga adalah 85 peratus ataupun 51 daripada setiap 60 kes, sementara D614G pula adalah 100 peratus.

Katanya, penyebaran A701V yang kini tersebar bersama D614G itu adalah berpadanan dengan peningkatan kes yang luar biasa semasa gelombang ketiga.

“Di peringkat global, Afrika Selatan, Australia, Belanda dan England juga melaporkan A701V pada masa yang hampir sama dengan Malaysia. Dalam pangkalan data GISAID, kelaziman mutasi ini didapati sekitar 0.18 peratus.

“Peranan mutasi ini masih belum ditentukan kerana pada kebanyakan kelompok yang mempunyai mutasi ini, kehadiran mutasi A701V mungkin telah memberi kelebihan kepada virus untuk menjadi strain dominan dan seterusnya menunjukkan penularan yang lebih baik,” katanya.

Pada Rabu, KKM memaklumkan bahawa mereka mengesan mutasi baharu virus Covid-19 di Malaysia yang dikenali sebagai A701V menerusi hasil kajian terhadap sampel dari Sabah.