‘Usaha cari rakan dalam kalangan musuh’

Mahfuz Omar
Mahfuz Omar
A
A
A

SHAH ALAM - Parti komponen dalam barisan pembangkang perlu berusaha mencari seberapa banyak rakan daripada kalangan ‘musuh’ sekiranya mahu merealisasikan gabungan ‘grand coalition’ dalam pilihan raya akan datang.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, langkah tersebut merupakan keperluan yang perlu dilakukan pembangkang dalam usaha menentukan agenda politik gabungan yang bakal dibina nanti.

“Soal ‘grand coalition’ yang kita cadangkan, ia adalah sesuatu yang menjadi keperluan kepada kehidupan untuk mengatur agenda politik masa depan. Sebab itu kita harus berpegang kepada satu prinsip iaitu kita berusaha untuk mencari seberapa banyak rakan dalam kalangan musuh.

“Elakkanlah diri daripada bermusuh sesama kita, sesama rakan, sesama kawan, sesama sahabat.

“Malah inilah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW dalam satu peristiwa di saat musuhnya nak membunuhnya tetapi dia boleh berbicara, berbincang, berunding dan akhirnya musuh itu menjadi seorang sahabat dan menerima ajaran yang dibawa oleh Rasulullah SAW,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konvensyen Angkatan Wanita Amanah Nasional (Awan) 2020 yang bersiaran di Facebook Amanah pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Amanah terus perjuangkan soal gabungan'

Mengulas lanjut, Mahfuz berkata, parti pembangkang perlu mengelakkan pertembungan di antara mereka dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya mahu menang dalam pilihan raya tersebut.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, bagi mengelakkan perkara sedemikian berlaku, parti pembangkang mesti lebih peka dengan realiti politik negara dan bersama berbincang serta berunding untuk memikirkan masa depan negara.

“Jangan sampai masyarakat dan rakyat naik muak dengan percaturan politik tidak menentu yang dilakukan pemimpin politik yang ada di dalam negara kita ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, Amanah menyeru semua parti pembangkang untuk mengembalikan penyatuan khususnnya bagi mempertahankan 108 kerusi Parlimen sedia ada yang dimiliki oleh mereka.

Katanya, pembangkang perlu mempertahankan kesemua kerusi sedia ada yang dimiliki mereka ketika ini di Dewan Rakyat.

“Kalau kita berjaya mempertahankan 108 kerusi yang kita menangi sekarang dan kita mengorak langkah untuk menambahkan lagi jumlah kerusi, maka sudah tentu kita akan menjadi kuat.

“ Kalaupun kita hanya mendapat 108 sahaja yang boleh dipertahankan, kita sudah menjadi parti yang kuat dan selepas pilihan raya kita boleh mencorak dan mencaturkan politik negara,” katanya.