Kerja tak dapat, wang pula lesap

Seorang lelaki kerugian RM1,500 selepas syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan kepadanya sebenarnya tidak wujud. - Foto 123RF
Seorang lelaki kerugian RM1,500 selepas syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan kepadanya sebenarnya tidak wujud. - Foto 123RF
A
A
A

KUANTAN - Hasrat seorang lelaki untuk bekerja disebuah ladang kelapa sawit tidak kesampaian apabila syarikat yang menawarkan peluang pekerjaan itu sebenarnya tidak wujud.

Mangsa berusia 36 tahun dari Bentong bukan sahaja tidak mendapat kerja yang ditawarkan malah turut kerugian RM1,500 akibat ditipu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa mendakwa dia mengentahui tentang tawaran kerja itu melalui seorang kawan pada Februari lalu.

Menurutnya, mangsa dimaklumkan bahawa sebuah syarikat sedang mencari pekerja bahagian pengurusan untuk operasi ladang kelapa sawit di Bahau, Negeri Sembilan.

"Mangsa kemudiannya menghantar permohonan peluang kerja itu kepada seorang lelaki (suspek) dan ditemuduga melalui telefon sebelum dimaklumkan berjaya mendapatkan jawatan yang ditawarkan.

"Suspek meminta mangsa membuka akaun di sebuah bank di Singapura dan perlu membayar RM1,500 kepada suspek," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohd Wazir berkata, mangsa membuat bayaran seperti diarahkan melalui akaun bank atas nama seorang lelaki pada 23 Februari lalu.

"Selepas bayaran itu dibuat, mangsa gagal mendapat sebarang perkembangan berhubung kerja itu sehingga pada 25 November lalu dia sekali lagi menghubungi suspek namun panggilan tidak berjawab.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa mula curiga lalu membuat semakan ke atas syarikat itu dan mendapati ia tidak wujud," katanya.

Beliau berkata, sedar telah ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Karak pada Khamis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Kesekaaan.