GPPKMM mahu MEDAC tubuh jabatan penjaja, peniaga


Mohamed Zamri ketika menjadi panelis Wacana siri ke-219 yang bertajuk Menjengah 2021: Ekonomi Malaysia dan Nasib Rakyat di Auditorium Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Mohamed Zamri ketika menjadi panelis Wacana siri ke-219 yang bertajuk Menjengah 2021: Ekonomi Malaysia dan Nasib Rakyat di Auditorium Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

SHAH ALAM – Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPKMM) mencadangkan kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menubuhkan sebuah Jabatan Penjaja dan Peniaga Kecil.

Setiausaha Agungnya, Mohamed Zamri Mohammed berkata, cadangan itu dibuat memandangkan mereka mempunyai jumlah ahli yang ramai iaitu dua juta orang dan ia adalah satu jumlah besar.

“Jangan lupa dua juta ini satu jumlah besar yang kerajaan melalui MEDAC kena fikirkan.

"Kita tidak minta lebih, tidak mahu jawatan senator atau apa-apa. Kita hanya mahukan Jabatan Penjaja dan Peniaga Kecil di MEDAC,” katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana siri ke-219 yang bertajuk Menjengah 2021: Ekonomi Malaysia dan Nasib Rakyat di Auditorium Karangkraf, Seksyen 15, Shah Alam pada Khamis.

Turut menjadi panelis Profesor Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Jamal Othman dan Timbalan Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi (FEM), Profesor Dr Saadiah Mohamad manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Terdahulu, Ismail bertanyakan apakah peruntukan yang diperlukan oleh GPPKMM daripada pihak kerajaan untuk membantu mereka.

Mohamed Zamri berkata, selain itu, pihaknya turut mahu menjadi ahli majlis perundingan di MEDAC.

Artikel Berkaitan:

“Kita tidak mahu runding-runding lagi. Kita mahu jadi ahli majlis perundingan dalam jabatan MEDAC,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan kerana banyak membantu pihak penjaja dan peniaga kecil semasa pandemik Covid-19.