Cara Malaysia urus krisis Covid-19, disiplin rakyat dipuji

Pematuhan rakyat terhadap semua SOP serta dedikasi pasukan barisan hadapan dipuji oleh masyarakat luar ketika negara berdepan keadaan sukar itu.
Pematuhan rakyat terhadap semua SOP serta dedikasi pasukan barisan hadapan dipuji oleh masyarakat luar ketika negara berdepan keadaan sukar itu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tahun 2020 menyaksikan perubahan landskap kehidupan masyarakat setelah melalui fasa normal baharu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang merupakan langkah penting bagi menangani krisis Covid-19 di negara ini.

Pandemik maut itu bukan sahaja memberi tamparan hebat kepada Malaysia, bahkan seluruh dunia turut berdepan ancaman serupa apabila virus yang pertama kali dikesan di Wuhan, China pada Disember 2019 itu telah mengorbankan lebih 1.74 juta nyawa di seluruh dunia setakat Khamis (24 Disember 2020).

Sebagai langkah drastik bagi memutuskan rantaian wabak itu di dalam negara, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP di seluruh negara secara berfasa mulai 18 Mac lepas berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967, sebelum ia dilonggarkan secara berperingkat.

Pelaksanaan PKP atau semi 'lockdown' itu juga bukti kecekapan kerajaan mendepani cabaran penularan wabak Covid-19 dengan disiplin tinggi dipamerkan rakyat dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti memakai pelitup muka, sanitizer tangan serta penjarakkan fizikal.

Pematuhan rakyat terhadap semua SOP serta dedikasi pasukan barisan hadapan dipuji oleh masyarakat luar ketika negara berdepan keadaan sukar itu.

Pendekatan kerajaan dalam melaksanakan ‘semi lockdown’ itu akan terpahat menjadi sejarah negara demi nyawa dan kesejahteraan rakyat walaupun terpaksa berdepan kesan ekonomi yang teruk.

Sejurus perintah itu dikuatkuasakan, suasana di seluruh negara menjadi ‘sunyi’ dengan ibu kota Kuala Lumpur yang sebelum ini sesak dengan kenderaan serta kesibukan warga kota bertukar menjadi lengang umpama sebuah bandar tinggal (ghost town) dengan sesekali kelihatan hanya kereta peronda polis dan tentera.

Selain pergerakan rakyat terbatas sepanjang penguatkuasaan PKP, kerajaan turut melarang sebarang aktiviti keagamaan, sukan dan sosial serta mengarahkan semua premis kerajaan dan swasta ditutup serta-merta kecuali bagi perkhidmatan perlu sekali gus menyebabkan ramai yang terpaksa membudayakan bekerja dari rumah.

Artikel Berkaitan:

Tidak terkecuali, adalah para pendidik dan pelajar serta ibu bapa apabila proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah dan institusi pengajian tinggi terpaksa dijalankan secara dalam talian dan maya seperti penggunaan aplikasi Zoom, Google Classroom, Goggle Meet dan Facebook Live.

Pelaksanaan PKP pada awalnya, diumumkan selama dua minggu hingga 31 Mac 2019 bertujuan memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 di negara ini, namun ia dilanjutkan pada fasa kedua bermula 1 hingga 14 April. Beberapa lokaliti yang dikesan berlakunya jangkitan kes Covid-19 yang tinggi semasa PKP pula dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), situasi yang boleh dianggap sebagai sekatan pergerakan penuh (total lockdown).

Biarpun satu keputusan yang sukar, PKP tahap ketiga kemudian dilanjutkan sehingga 28 April dan terbukti usaha berkenaan berjaya menurunkan trend kes baharu Covid-19 dalam negara sekali gus meletakkan Malaysia pada landasan yang tepat ke arah memutuskan rantaian wabak berkenaan.

Kemudian, tempoh PKP dilanjutkan selama dua minggu lagi sehingga 12 Mei. Namun, selepas 47 hari rakyat Malaysia ’terkurung’ berada dalam fasa PKP, kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi mulai 4 Mei tertakluk kepada syarat dan SOP yang ditetapkan.

Aktiviti sukan dan kegiatan luar yang tidak melibatkan sentuhan badan dan dalam kumpulan kecil seperti bermain badminton atau tenis di luar tanpa penonton, joging, kayuhan basikal, golf dan larian tidak melebihi 10 orang, dibenarkan dengan syarat mengamalkan penjarakkan sosial.

Namun, penganjuran majlis sosial, kemasyarakatan dan kebudayaan yang melibatkan perhimpunan ramai seperti kenduri serta rentas negeri masih tidak dibenarkan.

Susulan itu, kedatangan Ramadan dan perayaan Aidilfitri kali ini terpaksa disambut dalam suasana normal baharu. Sambutan bulan mulia itu, ternyata berbeza tanpa adanya solat sunat tarawih secara berjemaah di masjid dan surau atau majlis berbuka puasa secara besar-besaran, manakala sambutan Aidilfitri tiada amalan tradisi pulang ke kampung kerana pergerakan rentas negeri masih dilarang.

Memasuki fasa seterusnya, kerajaan mengumumkan PKP Pemulihan (PKPP) menyaksikan lebih banyak kelonggaran diberikan bermula 10 Jun 2020 iaitu antara lain membenarkan perjalanan rentas negeri kecuali di kawasan PKPD serta membuka hampir semua aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan, perniagaan dan ekonomi tetapi perlu dilakukan dengan mematuhi SOP.

Demi kesejahteraan ummah, sehingga kini, kerajaan masih melaksanakan pendekatan secara bersasar seperti PKPD atau PKP Bersasar di beberapa kawasan sekiranya berlaku peningkatan kes jangkitan di lokaliti tertentu.

Meskipun gelombang ketiga penularan Covid-19 kini lebih membimbangkan dengan peningkatan kes sehingga empat angka sehari, namun kerajaan tidak menekan butang panik untuk melaksanakan semula PKP sebaliknya mengambil langkah strategik dalam mengawal penularan wabak itu.

Jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia setakat semalam (24 Disember) mencecah 100,318 kes dengan kes positif harian sebanyak 1,581 kes.

Kini, sebarang pelaksanaan sama ada PKPB, PKPD atau PKPP adalah berdasarkan keadaan jangkitan di sesuatu lokaliti, daerah dan negeri.

Mungkin, kini masanya untuk rakyat lebih matang dan bijak dalam mengawal diri mereka dan keluarga untuk terus mematuhi SOP bagi mencegah jangkitan Covid-19, setelah mengharungi pelbagai fasa PKP, PKPB dan PKPB. - Bernama