Semangat baharu Perak Bison

Regu Perak Bison kembali mendapat rentak selepas meraih dua kemenangan berturut-turut dalam saingan STL 2020. - Foto FB SEPAKTAKRAW LEAGUE
Regu Perak Bison kembali mendapat rentak selepas meraih dua kemenangan berturut-turut dalam saingan STL 2020. - Foto FB SEPAKTAKRAW LEAGUE
A
A
A

PERAK Bison seakan-akan mendapat semangat baharu selepas meraih dua kemenangan berturut-turut pada saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2020 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Selepas mencipta kemenangan 21-15, 23-21 ke atas Kelantan Warriors, Perak Bison yang juga penyandang juara Liga Premier meneruskan momentum apabila menewaskan Negeri Sembilan Antlers 21-19, 21-19 pada Khamis.

Dua kemenangan berturut-turut itu ternyata melegakan kem Perak Bison yang sebelum ini dirundung kecewa rentetan kekalahan demi kekalahan sehingga menyaksikan mereka berada dalam kelompok bawahan.

Pengurus Perak Bison, Mohd Jaffrey Mohd Zainol berkata, dua kemenangan berturut-turut itu telah meningkatkan moral barisan pemainnya selepas kecundang dalam lima perlawanan sejak saingan STL bersambung semula pada 14 Disember lalu.

“Setakat ini saya nampak strategi yang digunakan oleh jurulatih agak berkesan apabila kami berjaya menewaskan Kelantan Warriors dan juga Negeri Sembilan Antlers.

“Ini satu perkembangan yang baik untuk kami meneruskan baki saingan STL tahun ini. Saya cuma berharap para pemain dapat mengekalkan rentak yang sama apabila turun ke gelanggang pada perlawanan akan datang.

“Apa pun, saya tidak mahu meletakkan sebarang tekanan kepada para pemain. Apa yang saya harapkan mereka dapat beraksi dengan baik sebagaimana yang telah diatur jurulatih," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Mohd Jaffrey berkata, Perak Bison yang telah merekodkan lima kemenangan selepas mengharungi 14 perlawanan akan mempertaruhkan strategi sama apabila dijadualkan menentang PDRM Defenders esok.

Artikel Berkaitan:

“Saya percaya jurulatih kami sudah mempunyai strategi terbaik apabila berdepan PDRM nanti. Kini terpulang kepada para pemain untuk menterjemahkan kemenangan di atas gelanggang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Kuala Lumpur (KL) Thunder semakin menghampiri kejuaraan Liga Primier apabila meraih kemenangan ke-14 berturut-turut selepas menewaskan Pahang Mammoth 21-13, 21-12.