Dron kesan 55 pencerobohan sempadan negara sejak Jun

Ismail Sabri pada sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Wisma Pertahanan hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri pada sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Wisma Pertahanan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Teknologi dron berjaya mengesan sebanyak 55 pencerobohan sempadan negara sejak ia digunakan dalam Ops Benteng pada Jun, kata Menteri Kanan ( Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pengesanan tersebut juga membawa kepada tangkapan bagi kes pencerobohan negara yang membuktikan keberkesanan penggunaan teknologi pesawat tanpa pemandu itu.

"Penggunaan teknologi dron adalah sangat penting kerana negara perlu menjaga sempadan yang luas contohnya di kawasan perairan Sabah.

"Sebab itu kita menggunakan teknologi dron di kawasan sempadan Malaysia termasuk di kawasan darat," katanya pada sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat di Wisma Pertahanan di sini hari ini.

Ismail Sabri juga berkata, kerajaan telah memperoleh beberapa aset termasuk motosikal jenis 'scrambler', ATV (kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan muka bumi), radar dan dron untuk digunakan ketika Ops Benteng, terutama di utara tanah air.

Beliau berkata, perolehan itu dibuat menerusi peruntukan khas di bawah Majlis Keselamatan Negara bagi memperkukuhkan kawalan sempadan negara.

"Kerajaan akan terus mempertingkatkan aset bagi mengawal sempadan negara dalam Ops Benteng," katanya.

Sebelum ini Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Affendi Buang dilaporkan berkata operasi pemantauan dan kawalan di sempadan negara dapat dilaksana dengan lebih berkesan melalui penggunaan aset dron secara lebih meluas. - Bernama

Artikel Berkaitan:

[LIVE] Sidang media Menteri Kanan (Keselamatan)

[LIVE] Sidang media Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)

Posted by Sinar Harian on Thursday, December 24, 2020