KDA FC sudah 99 peratus lengkap

Muhammad Sanusi (tengah) pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Kongres Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) kali ke-45 di Wisma Darul Aman, Alor Setar pada Khamis.
Muhammad Sanusi (tengah) pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Kongres Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) kali ke-45 di Wisma Darul Aman, Alor Setar pada Khamis.
A
A
A

PASUKAN Kedah Darul Kedah Darul Aman (KDA) FC sudah 99 peratus lengkap dan bakal diumumkan selepas 20 Januari 2021.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Muhammad Sanusi Md Nor bagaimanapun berkata, beliau masih enggan mendedahkan lagi senarai pemain-pemain kelab tersebut bersama barisan jurulatihnya kerana ada kejutan menanti penyokong KDA FC.

Menurutnya, pengumumannya yang sepatutnya diadakan pada 15 Januari depan terpaksa dilanjutkan disebabkan oleh masalah-masalah teknikal.

"Pasukan Kedah akan jadi pasukan paling mantap dalam saingan musim depan. Latihan telah bermula dan 99 peratus pemain telah berlatih kecuali pemain-pemain import yang sedang bercuti menyambut perayaan Krismas.

"Saya tidak mahu mendedahkan lagi senarai nama pemain termasuk 'awang import' kerana akan ada kejutan," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Kongres Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) kali ke-45 di Wisma Darul Aman di Alor Setar pada Khamis.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, peminat diharapkan dapat bersabar menunggu pengumuman rasmi tersebut.

"Tunggu, kita akan umumkan semuannya nanti. Setakat ini ramai yang sudah tahu bahawa Aidil Shahrin Sahak adalah Ketua Jurulatih KDA FC. Bagi pemain import pula, ada pemain yang dikekalkan dan manakala yang baharu pula kita akan umum nanti," katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, bekas pemain Kedah dan Kebangsaan, Muhamad Radhi Mat Din juga dilantik sebagai pengarah teknikal KDA FC pada musim hadapan.

Artikel Berkaitan:

KDA FC bakal membuka tirai saingan Liga Malaysia 2021 dengan menentang JDT bagi perlawanan merebut Piala Sumbangsih di Johor pada 26 Februari 2021.