X

Kindly register in order to view this article
!

Penuntut antarabangsa dibenar masuk mulai 1 Januari

Penuntut antarabangsa bagi institusi pendidikan swasta kategori pusat dibenarkan memasuki negara ini bermula 1 Januari 2021. - Foto 123RF
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan membenarkan kemasukan penuntut antarabangsa bagi institusi pendidikan swasta kategori pusat bermula 1 Januari 2021, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, kebenaran itu melibatkan institusi berpusat seperti pusat bahasa, kemahiran, latihan, tuisyen dan perkembangan minda yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan.

“Kemasukan akan diuruskan pihak Education Malaysia Global Services (EMGS), yang perlu mengikut garis panduan dan prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma),” katanya pada sidang akhbar perkembangan berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Khamis.

Ismail Sabri berkata, kebenaran itu hanya tertakluk kepada penuntut sedia ada yang diluluskan permohonan dan telah mendapat visa daripada Jabatan Imigresen.

Penuntut juga dikehendaki melakukan dua ujian saringan Covid-19 iaitu tiga hari sebelum berlepas ke Malaysia dan setiba di pintu masuk negara selain menjalani kuarantin wajib selama tujuh hari dengan kos ujian saringan serta kuarantin perlu ditanggung penuntut.

Mengenai operasi pusat hiburan, Ismail Sabri berkata, hanya pusat hiburan keluarga termasuk karaoke keluarga di kawasan PKPP dibenarkan beroperasi setakat ini.

"Ia termasuk karaoke di majlis perkahwinan. Sementara di kawasan PKP Bersyarat operasinya masih lagi di dalam senarai aktiviti larangan," katanya menjawab berkenaan keputusan Kerajaan Sarawak membenarkan pusat karaoke berbilik untuk beroperasi.

Sempena perayaan Hari Krismas yang akan disambut esok dan sambutan Tahun Baharu 2021, Ismail Sabri mengingatkan orang ramai supaya sentiasa menitik beratkan aspek kesihatan dan keselamatan ketika bercuti panjang.

Katanya, biarpun kelonggaran untuk merentas negeri diberikan, rakyat masih terikat dengan prosedur operasi standard dan kawalan kendiri bagi memastikan pandemik Covid-19 tidak menular dalam tempoh itu.

“Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Natal kepada penganut agama Kristian dan Selamat Tahun Baharu 2021...kita dapati terdapat varian baharu turut dikesan di Singapura yang sekali gus menunjukkan virus Covid-19 ini terus aktif dan berkembang.

"Justeru dalam sambutan perayaan ini ramai yang mengambil cuti panjang untuk bersama keluarga dan bercuti serta pulang ke kampung, saya ingatkan supaya menjaga kesihatan dan keselamatan kerana kita mempunyai amanah cukup besar untuk bersama-sama mengekang Covid-19,” katanya. - Bernama

[LIVE] Sidang media Menteri Kanan (Keselamatan)

[LIVE] Sidang media Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)

Posted by Sinar Harian on Thursday, December 24, 2020


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!