Shahnon Ahmad dalam kenangan

Shahnon Ahmad
Shahnon Ahmad
A
A
A

TELAH menjadi adat masyarakat kita secara keseluruhannya, bahawa pemergian seseorang yang ternama dalam masyarakat ke alam baqa’, iaitu kematiannya, akan banyak sekali dikenang dan dimuliakan setelah berakhirnya kehidupan serta pergerakannya di alam dunia ini.

P Ramlee setelah meninggal dunia, mendapat kurniaan Tan Sri Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid meninggal, juga menjadi bahan perkhabaran dan penukilan tentang projek Tabung Haji yang dipeloporinya. Demikian juga Allahyarhamah Tun Rahah Mohamed Noah yang meninggal pada minggu lalu, menjadi bahan pengeluaran pemikiran dan pendedahan riwayat hidup yang berharga selama hayatnya di dunia ini.

Bagi saya memang tidak ada masalah tentang perkara ini, kerana orang yang telah pergi buat selama-lamanya, eloklah dikenangkan jasa dan sumbangannya kepada masyarakat dan alam kehidupan dunia ini.

Bagaimana pun untuk pembaikan generasi demi generasi, ketika seseorang itu masih hidup, maka jasa dan harganya haruslah diserlahkan dengan beberapa cara yang terbaik untuk pengetahuan pihak yang berkenaan dan sebagai idola untuk selama-lamanya.

Oleh itu bagi saya, menjelangnya tanggal 26 Disember 2020, saya juga tidak dapat menyisihkan diri daripada budaya dan adat kita ini, kerana saya amat mengenangkan pemergian seorang kawan rapat saya.

Arwah yang menjadi kenangan itu ialah Shahnon Ahmad iaitu sasterawan negara yang menghembuskan nafas yang terakhir tiga tahun lalu.

Sebagai penulis, pemikir dan sarjana yang luas pandangan dan pemikirannya, arwah Shahnon membawa alam pemikirannya bukan hanya untuk sastera dan bahasa yang hanya terfokus kepada dunia yang terhad, namun arwah menyedari tugasnya sebagai seorang Muslim dalam segala bidang kehidupan di dunia dan akhirat ini, dan menyedari hal inilah arwah menceburkan dirinya dalam bidang kerohanian yang mendalam.

Saya mendampingi arwah dan terlibat dalam aktiviti keislaman ketika arwah masih bertugas di Universiti Sains Malaysia (USM).

Artikel Berkaitan:

Namun tulisan arwah dalam sebuah akhbar mingguan pada 13 Jun 2004 amat memeranjatkan seluruh pembaca dan kalangan lain yang mendengar bisikan hati nuraninya, ketika arwah menulis, selepas sekian lama menyepi, dengan katanya:

“Bahawa keuzurannya yang memakan masa berbulan dan bertahun, asyik keluar masuk hospital, tidak mampu lagi bergerak, menyebabkan “dia” akan dibiarkan begitu sahaja. Dia terus jadi kera sumbang. Tidak ada siapa lagi yang sampai hati hendak mendekatinya. Tidak ada lagi yang punya hati untuk bertanya khabar atau memberi salam, bertegur sapa jauh sekali, malah kalau boleh perlu dijauhkan, kerana orang sakit memang tak berguna lagi...”Luahan

Sebagai penulis dan perakam suara akal dan rohnya, arwah mencatatkan dalam tulisannya yang sama dengan meluahkan perasaan hampanya yang amat sangat bahawa dia telah kehilangan sesuatu yang amat berharga dalam hidupnya, iaitu aktiviti sebagai seorang karyawan dan sasterawan seperti yang telah dilakukannya sebelum ini. Arwah merasakan amat malang kerana tidak dapat menulis selama lima tahun, dan pada kemuncaknya itulah dia diserang oleh satu penyakit yang ganjil dan tenat bernama Myasthenia Gravis.

Namun arwah menyatakan kerehatannya dapat kembali bebas sebagai seorang manusia seni di kampungnya di Banggul Derdap, daerah Sik, Kedah, ketika beliau meneruskan tulisannya itu dengan berkata bahawa “Saya lebih bertenang di kampung, bercakap dengan bukit bukau, kerbau lembu, ayam itek, jagung, pisang, ular dan lipan bara”.

Shahnon di akhir hayatnya merasa tenang dengan hidupnya, ketika dia seolah-olah menutup kisahnya dengan ungkapannya “Namun pengalaman seumpama ini mematangkan lagi makna kehidupan, kerana dalam kesepian dan keseorangan inilah saya dapat menilai diri dan jiwa saya dengan Yang Maha Esa....”. Penutup catatannya inilah yang menutup karya terakhirnya dan arwah pergi untuk selama-lamanya.

* Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia