X

Kindly register in order to view this article
!

Negara mana lagi akan jalin hubungan dengan Israel?

Wakil Maghribi dan delegasi Israel memeterai perjanjian damai di Istana Diraja di Rabat kelmarin. - Foto Agensi
A
A

TEL AVIV - Israel sedang cuba untuk menjalinkan hubungan diplomatik dengan negara Islam kelima berkemungkinan di rantau Asia sebelum penggal pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berakhir pada 20 Januari depan.

Rancangan kontroversi itu didedahkan Ynet TV semalam memetik sumber menteri Knesset selepas Israel menormalkan hubungan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Sudan dan Maghribi yang merupakan satu bentuk pengkhianatan kepada Palestin.

Ketika disoal tentang negara kelima yang akan memeterai perjanjian damai bersama Israel, Menteri Kerjasama Wilayah, Ofir Akunis hanya menjawab: "Kami sedang berusaha ke arah itu."

Menurutnya, AS sendiri yang akan membuat pengumuman tentang perkara itu.

Akunis bagaimanapun enggan mendedahkan nama dua calon negara tersebut.

“Salah satu daripada adalah negara di timur. Tetapi, ia bukan Pakistan. Sebuah lagi adalah sebuah negara di Teluk, namun bukan Arab Saudi,” katanya yang memberi bayangan kemungkinan besar adalah Oman seakan mengiyakan laporan media tempatan sebelum ini.

Minggu lalu, Indonesia menolak sekeras-kerasnya laporan media Israel yang mendakwa Jakarta mahu menjalinkan hubungan diplomatik dengan rejim Tel Aviv.

Ia turut mengulangi kenyataan tidak akan mengiktiraf Israel selagi tuntutan Palestin tidak dipenuhi.

Isnin lalu, Pembangunan Kewangan Antarabangsa (DFC) yang merupakan agensi yang melabur di luar negara cuba ‘memujuk’ Indonesia untuk menormalkan hubungan dengan Israel.

Ketua Eksekutif DFC, Adam Boehler menerusi satu wawancara menyatakan agensi tersebut kononnya bersetuju untuk melipatgandakan portfolio berjumlah satu bilion dolar hanya jika Jakarta bersetuju dengan perjanjian damai tersebut.

“Kami sudah berunding tentang perkara itu. Mereka akan memperoleh dana tambahan tersebut jika akur dengan syarat yang ditetapkan,” ujarnya.

Pada Rabu, akhbar The Jerusalem Post tanpa menamakan sumber diplomatik melaporkan Oman dan Indonesia dijangka bakal mengikut jejak langkah empat negara yang telah menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel dalam tempoh terdekat. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!