X

Kindly register in order to view this article
!

Sejuta warga AS terima suntikan vaksin Covid-19

Gambar fail menunjukkan Sandra Linday (kiri) menjadi individu pertama menerima vaksin Covid-19 di Amerika Syarikat. - Foto AFP
A
A

WASHINGTON - Lebih sejuta rakyat Amerika Syarikat (AS) telah menerima dos pertama vaksin koronavirus (Covid-19) yang merupakan proses imunisasi terbesar dalam sejarah negara itu.

Ia berlaku ketika musim sejuk menyebabkan peningkatan kes Covid-19 di seluruh AS yang mana virus pandemik tersebut telah mengakibatkan lebih 320,000 nyawa terkorban dan ia akan menjadi punca kematian ketiga terbesar di negara berkenaan.

Pengarah Pusat Kawalan Penyakit dan Pencegahan (CDC), Robert Redfield berkata, imunisasi terbesar dalam sejarah itu bermula sejak 14 Disember lalu.

"Ketika ini terdapat bekalan vaksin Covid-19 yang berkurangan di AS tetapi bekalan akan meningkat dalam tempoh beberapa minggu dan bulan akan datang," katanya.

Kira-kira tiga juta dos vaksin Pfizer-BioNTech telah dihantar pada minggu lalu dan sasaran rasmi untuk minggu ini ialah lebih dua juta dos vaksin tersebut akan diberikan kepada rakyat AS.

Enam juta dos vaksin itu datangnya daripada syarikat bioteknologi Amerika iaitu Moderna.

Jika pemberian vaksin Covid-19 berjalan dengan lancar, adalah kemungkinan sebahagian besar penduduk AS akan mendapatkan suntikan tersebut menjelang musim panas yang akan datang, kata Pengarah Institut Penyakit Berjangkit dan Alahan, Anthony Fauci.

Dalam satu temu ramah dengan portal perubatan WebMB yang disiarkan pada Rabu, Fauci menyatakan orang ramai boleh mengadakan majlis perkahwinan secara besar-besaran seawal-awalnya pada bulan Jun atau Julai tahun depan.

Moncef Slaoui yang merupakan Ketua Penasihat Warp Speed iaitu sebuah agensi kerajaan bagi mempercepatkan pengedaran vaksin Covid-19 berkata, sasaran untuk menyuntik seramai 20 juta penduduk pada bulan ini dipercayai akan tercapai.

Beliau yakin dapat menyuntik vaksin tersebut kepada 100 juta penduduk pada suku pertama 2021 dan 100 juta lagi bagi suku kedua tahun depan. - AFP


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!