Tahap kebahagian keluarga Malaysia semakin baik

Tahap kebahagiaan keluarga di Malaysia pulih pada gelombang ketiga Covid-19. - Foto 123RF
Tahap kebahagiaan keluarga di Malaysia pulih pada gelombang ketiga Covid-19. - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Tahap kebahagiaan keluarga di Malaysia didapati semakin baik pada gelombang ketiga Covid-19 pada tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, sebanyak 49 peratus ibu bapa menyatakan bahawa tahap kebahagiaan rumah tangga mereka menjadi semakin baik berbanding dua gelombang Covid-19 sebelum ini.

“Ini selaras dengan penemuan tinjauan tersebut yang turut mendapati bahawa sebanyak 64 peratus responden ibu bapa yang mengakui bahawa komunikasi mereka dengan pasangan telah menjadi semakin baik pada ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelasnya, dapatan tersebut diperolehi melalui tinjauan pendapat yang dilaksanakan secara dalam talian sempena Bulan Keluarga Kebangsaan 2020 pada November lalu.

Menurutnya, penemuan tinjauan terbaharu daripada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) itu secara tidak langsung memberi gambaran institusi keluarga menunjukkan tanda-tanda pemulihan.

Rina Mohd Harunault
Rina Mohd Harunault

Pada masa sama, beliau memaklumkan bahawa skor keseluruhan Indeks Kesejahteraan Keluarga (IKK) 2019 rakyat Malaysia masih kekal pada tahap sederhana walaupun menunjukkan peningkatan 0.39 mata iaitu 7.72 berbanding 7.33 pada tahun 2016.

“Domain Hubungan Kekeluargaan menjadi penyumbang skor tertinggi IKK 2019 iaitu 8.35 daripada skala maksimum 10 diikuti oleh domain lain yang membentuk lapan Domain Kesejahteraan Keluarga di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Nilai skor domain Keluarga, Peranan Agama dan Amalan Kerohanian ialah 8.25 selain domain Keluarga dan Keterlibatan Komuniti (8.00) dan domain Keselamatan Keluarga (7.86).

“Selain itu, domain Ekonomi Keluarga mencatatkan skor 7.67 selain domain Kesihatan Keluarga (7.44), domain Perumahan dan Persekitaran (7.35) dan domain Keluarga dan Teknologi Komunikasi dengan nilai skor 6.82,” katanya.

Jelasnya, domain Hubungan Kekeluargaan dipantau melalui tujuh indikator yang mengukur aspek berkaitan kekeluargaan iaitu penglibatan ibu bapa, kualiti masa bersama keluarga, imbangan kerja-keluarga, perhubungan rapat, kefungsian keluarga, daya tindak keluarga, dan daya tahan keluarga.