X

Kindly register in order to view this article
!

Politik vaksin Covid-19

A
A

SEBELUM pandemik Covid-19 tercetus, warga dunia diingatkan agar perkukuhkan sekuriti nasional, usahakan perdamaian, sokong pertumbuhan ekonomi, lindungi hak manusia dan mudahkan bantuan kemanusiaan di seluruh dunia.

Semua diberi isyarat agar bersiap sedia. Semua diharap agar wujud kesiapsiagaan untuk berdepan dengan apa sahaja bencana.

Akan tetapi apabila petaka Covid-19 mewabak, tidak ada yang menunjukkan kesungguhan sama ada individu mahupun mana-mana negara untuk memberi perhatian ke atas kepentingan nasional mahupun solidariti antarabangsa.

Sementara negara-negara bergelut melihat kesan pandemik ini merebak, sentimen nasionalisme semakin menguat. Nampaknya nasionalisme vaksin lebih terserlah daripada usaha untuk kerjasama antarabangsa menangani krisis kesihatan paling parah ini.

Apa yang kedengaran adalah hanya retorik kerjasama tetapi tidak berlaku secara nyata. Kerisauan mengenai akses kepada vaksin menjadi fokus utama sementara panik dalam kalangan negara yang menunggu-nunggu untuk vaksin semakin terasa.

Sedangkan sebelum Amerika Syarikat mengumumkan pada 31 Julai lagi, suatu persetujuan antara pentadbiran AS yang memeterai kontrak terbesar dengan syarikat-syarikat farmasi untuk menjamin bekalan vaksin Covid-19 telah disempurnakan. Negara kaya siap melindungi diri lebih dahulu sebelum mahu membantu negara miskin.

Negara lain termasuk China, India, UK dan Kesatuan Eropah, mengguna strategi sama. Berlumba untuk jaminan mendapatkan vaksin adalah keputusan kerajaan. Kerajaan dilihat gagal menyekat tersebarnya virus covid-19 yang menghancurkan perjalanan ekonomi dan merosakkan kerjasama antarabangsa.

Polisi nasional yang tidak berkesan nampaknya membentuk jurang antara sains dan politik yang menyebabkan pandemik menjadi lebih buruk. Nasionalisme vaksin menunjukkan kesihatan global kembali berjalan seperti asal tanpa berubah.

Sejarah diplomasi kesihatan telah menunjukkan di peringkat dunia, matlamat menjamin akses yang saksama untuk mendapatkan ubatan dan vaksin gagal.Jelas banyak negara gagal mencapai matlamat ini. Contohnya, pandemik influenza H1N1. Akses di peringkat antarabangsa menunjukkan ia hanya berlaku selepas negara maju terjamin mendapat vaksin yang diguna di negara mereka.

Manfaat

Vaksin untuk cacar air dan polio serta ubatan untuk HIV/AIDS telah didahulukan untuk negara maju. China dan India, cuba memecah polisi esklusif ini dengan membangun industri farmasi sendiri dengan inovasi dan keupayaan masing-masing.

Terkini, negara-negara membangun telah menegaskan kedaulatan terhadap sampel pathogenic. Pendekatan ini meletakkan syarat akses kepada negara asal yang menerima manfaat daripada penyelidikan dan pembangunan termasuk ubatan dan vaksin.

Namun dengan Covid -19, sejarah berulang. Negara-negara yang ada sumber untuk memperolehi vaksin tidak akan mendahulukan objektif global mengenai akses kepada vaksin yang adil.

Sikap politik nasionalisme yang tajam dan hegemoni politik negara yang kaya akan menyebabkan vaksin mungkin akan hanya dibekal sesudah pemimpin dan rakyat negara yang kuat dapat divaksinasi dahulu sebelum dibekal kepada negara membangun dan negara miskin.

Perubahan kuasa politik mencetuskan perlumbaan untuk merebut vaksin dengan tawar-menawar harga, syarat, komisyen dan perjanjian pembekalan. Harga proses pengeluaran, ujian, pembungkusan, logistik dan edaran bernilai jutaan bilion dolar menjadi peluang untuk meraih keuntungan besar. Setiap syarikat farmasi menunggu peluang untuk berurusan dengan ahli politik.

Sebenarnya mengorientasi semula polisi kesihatan dan diplomasi antara negara memerlukan rekonstruksi politik antarabangsa.

Dalam keadaan yang sangat mendesak inilah ahli saintis berusaha untuk mempercepatkan penghasilan vaksin untuk melindungi rakyat. Sepatutnya inilah peluang untuk suatu rombakan sistem kesihatan yang selama ini sudah dikawal oleh korporat besar diubah untuk menjadi kesihatan sebagai hak manusia untuk mendapat akses kepada ubat dan rawatan daripada wabak.

* Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!